AIMAN (kanan) masih mampu meraih jersi merah walaupun terlepas peluang muncul pelumba pertama tiba di zon pendakian ketiga. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
AIMAN (kanan) masih mampu meraih jersi merah walaupun terlepas peluang muncul pelumba pertama tiba di zon pendakian ketiga. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Aida Adilah Mat


PELUMBA Sapura Cycling Team (TSC) Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff paling mencuri tumpuan pada saingan peringkat 3 PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 apabila dinobatkan sebagai penyarung jersi merah (raja bukit).

Biarpun percubaannya untuk menamatkan perlumbaan peringkat 3 dari Temerloh ke Kuala Lumpur sejauh 162.5 km dikedudukan podium tidak kesampaian, namun pencapaian meraih jersi merah selaku pendahulu untuk kategori bukit sudah cukup memuaskan hatinya.

Pada perlumbaan yang tamat di hadapan Menara Berkembar Petronas (KLCC) Aiman menamatkan saingan yang menyaksikan penamat dalam kelompok besar di garisan penamat dengan catatan tiga jam 51 minit 42 saat.

“Alhamdulillah hari ini saya dapat buat yang terbaik untuk Sapura dan saya puas hati kerana apa yang dilakukan membuahkan hasil.

“Sebelum mula memang saya rancang untuk buat pecahan awal untuk dapatkan mata di zon pendakian. Alhamdulillah saya berjaya dapat nombor satu di dua zon pendakian awal (Bukit Damar dan Bentong).

“Tapi nasib tak begitu baik apabila tayar saya pancit di km113 sebelum zon pendakian ketiga (Genting Sempah) membolehkan pelumba Australia membuat serangan secara solo untuk kedudukan nombor satu dan saya nombor dua,” katanya.

Pencapaian Aiman itu menyaksikan dia ketika ini berada di kedudukan kelima dalam klasifikasi keseluruhan individu (Jersi Kuning PETRONAS) ketinggalan satu minit 22 saat di belakang pemegang Jersi Kuning PETRONAS dari Kazakhstan, Yevgeniy Federov.

Esok (hari ini) peringkat 4 akan menjadi kemuncak sebenar saingan membabitkan pendakian berstatus Hors ke Genting Highlands meliputi jarak 156.1 km.

Menawarkan tiga zon pecutan di Segambut, Serendah serta Batang Kali dan lima zon pendakian di Tekali, Ampang Look, Selayang, Rawang dan Genting Highlands.

Mengulas mengenai perancangannya, Aiman yang lebih kepada pelumba domestik akan cuba meraih mata di tiga zon pendakian yang awal sebelum mendaki ke kemuncak Genting.

”Pendakian ke Genting memang sukar jadi saya akan cuba kutip mata di zon pendakian awal dengan cuba buat pemecahan awal. Bila sampai Genting saya akan ikut saja pelumba dan buat mana yang mampu untuk bantu rakan pasukan yang lain.

“Saya akan cuba buat yang terbaik untuk pertahankan jersi Merah ini tapi saya tahu ia tak mudah sebab ramai pelumba profesional,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 6:31 PM