RED Bull mahu beri saingan bagi merebut kejuaraan dunia sejak awal musim. FOTO Reuters
RED Bull mahu beri saingan bagi merebut kejuaraan dunia sejak awal musim. FOTO Reuters
Agensi

LONDON: Ketua permotoran Red Bull, Helmut Marko berkata, pasukan itu tidak lagi boleh mencipta apa-apa alasan dalam usaha muncul antara pencabar gelaran musim depan.

Red Bull gagal mencabar Mercedes secara lebih konsisten sejak era penggunaan enjin hybrid pada 2014.

Tetapi peningkatan yang dipamerkan pasukan serta rakan kongsi enjin, Honda melonjakkan lagi impian Max Verstappen untuk menandingi Lewis Hamilton tahun depan.

“Kami melangkah ke tahun baharu dengan lebih baik diiringi konsep hebat. Kini kami yakin mampu untuk menghasilkan keputusan lebih baik,” kata Marko.

Marko menambah, Honda dan Verstappen akan berada pada tahap tertinggi tahun depan dan pasukannya sudah mula menjalani latihan dua minggu lebih awal berbanding jadual.

Pada masa sama, beliau mengaku Red Bull tidak boleh lagi memulakan musim dengan perlahan dan percaya kegagalan pasukannya sejak kebelakangan ini berpunca daripada masalah berkenaan.

Musim ini, Marko menjangkakan pasukannya akan menang lima perlumbaan, tetapi mereka hanya berjaya menjulang tiga pusingan - semuanya dilakukan oleh Verstappen iaitu di Austria, Jerman dan Brazil.

Marko berkata, keputusan itu memburukkan imej pasukannya, tetapi percaya musim depan mereka mampu memenangi sekurang-kurangnya lima pusingan.

Tahun lalu, Red Bull menjalinkan kerjasama bersama Honda dan enjin yang dihasilkan syarikat Jepun itu sudah melakukan perubahan, tetapi belum cukup untuk menandingi Mercedes serta Ferrari.

Verstappen yang menamatkan musim 2019 di tangga ketiga di belakang Hamilton dan Valteri Bottas percaya pasukannya lebih sedia.

Katanya: “Kami berharap dapat bersaing merebut kejuaraan dunia sejak awal musim lagi.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 6:04 AM