SAAD Ichalelene
SAAD Ichalelene
Syazwan Msar


KUALA LUMPUR: Pelantikan sebagai Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) baharu bukan untuk mengubah segala-galanya, namun mahu meneruskan agenda dan program pembangunan sedia ada supaya terus mencapai objektif seterusnya melahirkan lebih ramai pemain berkualiti pada masa akan datang.

Itu antara inisiatif yang bakal dilaksanakan bekas jurulatih remaja Paris St Germain (PSG), Saad Ichalelene sebaik namanya diumumkan menggalas cabaran terbabit demi masa depan bola sepak negara.

Saad yang sedar tanggungjawab yang dipikul itu begitu berat turut mengakui memerlukan masa untuk mencari kaedah terbaik dalam memastikan program pembangunan akar umbi bola sepak negara mencapai matlamat menerusi pembabitan semua pihak.

“Saya mahu berterima kasih kepada semua pihak dan perkara utama adalah pelantikan saya bukan mahu melakukan perubahan menyeluruh, namun akan meneruskan idea atau agenda yang sudah dipraktikkan sejak bertahun lalu.

“Ada beberapa perkara akan ditambah baik menerusi perancangan strategi membabitkan semua pihak yang terbabit dalam NFDP,” katanya, di sini.

Kelmarin, Arena Metro melaporkan Saad dilantik Pengarah Teknikal NFDP berkuat kuasa 1 Disember ini.

Pemilihan Saad secara rasmi diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu NFDP dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin serta wakil pengurusan tertinggi NFDP termasuk Kementerian Pendidikan dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Difahamkan Saad adalah watak penting menanam corak permainan moden dalam kalangan pelatih NFDP serta menerapkan kaedah kejurulatihan dan corak permainan dari Perancis ke semua peringkat Akademi Tunas (AT), Pusat Latihan Daerah (PLD) dan Sekolah Sukan Negeri (SSN).

Sebelum ini, bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich, Lim Teong Kim adalah Pengarah Teknikal NFDP bermula 2013 sebelum diturunkan pangkat sebagai Pengarah AMD pada 2016.

Jawatannya kemudian dipangku Saad dengan dibantu Ketua Pegawai Eksekutif NFDP, Safirul Azli Abu Bakar.

Sementara itu, Saad berkata, beliau akan memberi penekanan dalam meningkatkan kualiti jurulatih dan perbanyakkan platform atau program pembangunan akar umbi yang lebih sistematik.

“Pembangunan akar umbi yang sistematik dengan menerapkan ekosistem bola sepak Malaysia akan membentuk pemain muda yang bagus untuk kelab dan juga negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 6:00 AM