REUS (kiri) menanduk masuk gol penyamaan pada masa kecederaan di Signal Iduna Park. — FOTO EPA
REUS (kiri) menanduk masuk gol penyamaan pada masa kecederaan di Signal Iduna Park. — FOTO EPA
AFP

KAPTEN Borussia Dortmund, Marco Reus menyamakan kedudukan pada masa kecederaan untuk memaksa seri 3-3 di laman sendiri dengan kelab tercorot Bundesliga, Paderborn ketika keputusan mengejut itu menambah tekanan buat jurulatih Dortmund, Lucien Favre.

Dortmund, yang berdepan Barcelona di laman lawan pada aksi Liga Juara-Juara pertengahan minggu depan, ketinggalan 0-3 ketika rehat di Signal Iduna Park dan gagal mencabar sebelum bangkit pada babak kedua.

“Kami perlu memohon maaf kepada penyokong kami susulan persembahan ini, terutama pada separuh masa pertama,” kata Reus.

“Kami tidak boleh bermain sebegini di gelanggang sendiri, ia memang teruk. Ia tidak menjadi.

MAMBA (tengah) cuba melepasi kawalan pemain Dortmund, Raphael Guerreiro (kiri) dan Mats Hummels. — FOTO EPA
MAMBA (tengah) cuba melepasi kawalan pemain Dortmund, Raphael Guerreiro (kiri) dan Mats Hummels. — FOTO EPA

“Saya tidak tahu apa yang terjadi kepada kami pada babak pertama.”

Penyerang Paderborn, Streli Mamba bermahajarela dengan dua gol dalam 45 minit pertama sebelum pemain sayap Gerrit Holtmann manambah gol ketiga pelawat sejurus sebelum rehat.

Ia cerita berbeza pada babak kedua apabila pemain sayap England, Jadon Sancho mencetus harapan buat Dortmund sebelum Axel Witsel dan kemudian Reus kedua-duanya menyumbang gol menerusi tandukan untuk meraih keputusan seri.

Keputusan itu menyaksikan Dortmund di tangga kelima liga, namun mereka boleh menamatkan hujung minggu lapan mata di belakang pendahulu Borussia Moenchengladbach, yang menentang pasukan tangga pertengahan FC Union Berlin malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 7:53 AM