EWART makin hampir memenangi jersi kuning dan pecut Tour de Singkarak 2019. - FOTO TSC
EWART makin hampir memenangi jersi kuning dan pecut Tour de Singkarak 2019. - FOTO TSC
Azlan Muhammad Zain


DUA pasukan benua negara cemerlang dalam aksi Jelajah Asia dengan Team Sapura Cycling (TSC) hampir pasti mendominasi Tour de Singkarak di Indonesia yang dijadual berakhir esok.

Pada peringkat kelapan perlumbaan yang "menghidangkan" pendakian kategori hors dari Sungai Penuh ke Pesisir Selatan, TSC berjaya bertahan dengan jersi kuning yang disarung Jesse Ewart sejak peringkat pertama.

Ewart menamatkan saingan peringkat kelapan dengan menduduki tempat ketiga untuk terus mengekalkan kedudukan selaku pendahulu kategori individu keseluruhan dengan masa 31 jam 49 minit 18 saat.

Jersi kuning dilihat selamat dalam genggaman TSC apabila tempat kedua adalah rakan sepasukannya, Cristian Raileanu yang dibezakan dengan 1:43s manakala pelumba Omidnia Mashhad Team dari Iran, Mirsamad Pourseyedi ketinggalan 4:03s di kedudukan ketiga.

Pelumba dari Australia berkenaan turut mendahului kategori pecut dengan mengumpul 76 mata dengan Jamalidin Novardianto dari Pgn Road Cycling Team yang memenangi peringkat kelapan di kedudukan kedua dengan meraih 51 mata.

TSC turut kekal mendahului pasukan terbaik keseluruhan dengan mengumpul 95.42:41s. Peringkat kesembilan esok dari Painan ke Padang adalah laluan landai sejauh 107.7km dilihat tidak mampu mengubah kedudukan jersi yang diraih Ewart dan TSC dengan mereka hanya menunggu detik untuk dinobatkan sebagai pemenang.

Sebuah lagi pasukan benua negara, Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) cemerlang di Tour of Quanzhou Bay dengan pelumbanya, Mohd Shahrul Mat Amin meraih kedudukan ketiga pada peringkat kedua dari Shishi ke Fengze.

Pelumba barunya dari Panama, Cristopher Robin Jurado turut cemerlang apabila menyarung jersi pecut dengan 13 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 6:39 PM