PEMAIN Kedah menjalani latihan menjelang final Piala FA bertemu Perak, Sabtu ini.
PEMAIN Kedah menjalani latihan menjelang final Piala FA bertemu Perak, Sabtu ini.
Firdaus Hashim


BEKAS rakan sepelatih Lionel Messi dalam skuad kebangsaan Argentina, Jonathan Bauman berharap dapat diturunkan sebagai tonggak utama skuad Kedah kerana dia tidak sabar untuk melepaskan geram apabila menentang Perak dalam final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Penyerang import Lang Merah itu mengakui ‘geram’ kerana hanya mampu melihat rakannya beraksi dalam tiga aksi Liga Super sebelum masuk sebagai pemain gantian ketika tewas mengejut 1-5 di tangan FELDA United pada aksi terakhir liga Ahad lalu.

Kecederaan di bahagian kaki menjadi punca mengapa dia disisihkan dalam beberapa aksi liga dan kini sudah pulih sepenuhnya untuk beraksi terutama di perlawanan akhir Piala FA ini.

“Kalau ikutkan memang geram (hanya dapat tengok rakan beraksi), tetapi sebagai pemain kami kena mengikut taktikal jurulatih kerana dia tahu apa yang terbaik untuk pasukan.

“Harap dalam aksi final nanti saya dapat diturunkan dan mahu membuktikan kemampuan kepada jurulatih dan penyokong Kedah.

“Tekanan dan suasana aksi di pentas final berbeza dengan liga, saya akan gunakan pengalaman yang ada untuk menghadapi Perak,” katanya yang sudah merekodkan 10 gol dalam 24 penampilan bersama Kedah di Liga Super dan Piala FA.

Bauman, 28, adalah bekas pemain skuad bawah 21 tahun (B-21) Argentina dan pernah dipanggil menjalani latihan bersama skuad senior bagi menghadapi Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Dia sempat berlatih dengan beberapa pemain hebat seperti Juan Sebastian Veron, Angel Di Maria, Javier Mascherano, Carlos Tevez, Gonzalo Higuain dan Lionel Messi dengan jurulatih skuad kebangsaan Diego Maradona.

Biarpun dia tidak terpilih dalam skuad terakhir ke Afrika Selatan, namun kesempatan menjadi rakan sepelatih sememangnya satu pencapaian dan pengiktirafan tinggi buat mana-mana pemain di negara yang begitu terkenal melahirkan ramai bintang bola sepak dunia itu.

Sementara itu, Bauman merayu penyokong Hijau Kuning supaya datang beramai-ramai ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam esok untuk memberikan semangat kepada rakan sepasukannya.

Katanya, penyokong adalah pemain ke-12 buat pasukan Kedah.

Kali terakhir skuad Lang Merah memenangi Piala FA pada 2017 selepas menumbangkan Pahang di perlawanan akhir dengan 3-2 dan sekiranya mampu menundukkan Perak ia adalah kejuaraan kelima buat pasukan Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 6:10 AM