Solskjaer naik angin akibat sikap Martial yang hanya melihat dan memijak bola ketika sesi memanas badan sebelum menentang Chelsea. FOTO REUTERS
Solskjaer naik angin akibat sikap Martial yang hanya melihat dan memijak bola ketika sesi memanas badan sebelum menentang Chelsea. FOTO REUTERS
Agensi

OLE Gunnar Solskjaer berang terhadap Anthony Martial berikutan sikap malas dipamerkan ketika Manchester United seri dengan Chelsea.

Pengurus United itu memarahi Martial di hadapan pemain lain dalam bilik persalinan selepas meletakkan pemain Perancis itu di bangku simpanan di Old Trafford.

Penyokong mengkritik pemain sayap berusia 23 tahun itu di media sosial, semalam selepas melihat rakaman Martial berada pada sesi memanaskan badan bersama skuad itu.

Martial begitu santai dengan tangan di belakang badan sambil memijak bola dengan kakinya sedangkan rakan lain melakukan sepakan dan berlari pantas pada sesi itu.

Dia mengadu mengalami sakit belakang tetapi difahamkan Solskjaer tidak gembira dengan alasan diberikan.

Solskjaer kemudian membuat keputusan menyenaraikan Alexis Sanchez berbanding Martial bagi menggantikan Marcus Rashford yang mengalami kecederaan bahu pada m-65.

Sebelum ini terdapat kebimbangan terhadap sikap Martial sejak dia menandatangani kontrak lima tahun pada penghujung Januari lalu.

Dia sering menunjukkan aksi kurang memberangsangkan ketika berada di atas padang.

Martial sentiasa menjadi pilihan untuk membentuk serangan bersama Rashford dan Jesse Lingard tetapi bekas pemain Monaco itu kini tidak lagi menjadi keutamaan.

Pengurus sebelum ini, Jose Mourinho turut kecewa dengan sikap Martial hingga meyebabkan dia mahu menjualnya pada musim panas lalu.

Kini Solskjaer juga sudah tidak tahan dengan pemain memiliki sikap seperti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 1:56 PM