SKUAD TFC menentang Kedah malam esok.
SKUAD TFC menentang Kedah malam esok.
Malik Muhamad

KELAB Penyokong Bolasepak Terengganu (PETEH) menuntut pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohamad Nik mengetengahkan idea baharu dan bukannya strategi lapuk apabila berdepan skuad Kedah di Stadium Darul Aman malam esok.

Selain itu, PETEH menggesa barisan jurulatih menyenaraikan pemain baharu berpotensi dalam kesebelasan utama dan tidak hanya menggunakan khidmat pemain sama yang tidak mempamerkan semangat juang tinggi dalam pasukan.

Presiden PETEH, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, sudah tiba masanya pengendali TFC itu merehatkan pemain yang gagal memperagakan aksi meyakinkan kerana ia boleh menjadi 'perosak' pasukan.

"Bagi kami, taktikal yang diterapkan jurulatih skuad Penyu sudah dapat dibaca pihak lawan dan seolah-olah jurulatih TFC bagaikan kering idea dan tiada kreativiti dalam satu-satu perlawanan.

"Kami berpendapat susunan pemain pun perlu dilihat dan dinilai semula dan jurulatih harus memberi peluang pemain lain beraksi dalam kesebelasan utama kerana mereka juga mempunyai kebolehan masing-masing dan bukannya hanya menyenaraikan pemain sama dalam setiap perlawanan.

"Kami lihat pemain seolah-olah protes dengan jurulatih ketika bertemu PKNP FC, malah jurulatih juga gagal membantu penyerang utama, Kipre Tchetche beraksi dengan baik dan seterusnya menghasilkan jaringan kerana pemain itu sentiasa dikepung pihak lawan.

"Justeru, kami harap barisan jurulatih perlu melihat perkara ini dengan lebih serius selain mengharapkan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) tidak 'berpeluk tubuh' sebaliknya perlu bertegas dalam soal ini sebelum terlambat," katanya.

Pada aksi terakhir Liga Super Sabtu lalu bertemu PKNP FC di laman sendiri, Mohamad Nik ternyata berang dengan prestasi anak buahnya yang disifatkan hanya bermain bola pada 20 minit terakhir sebelum tewas 1-2.

Sebelum itu mereka tewas 0-1 kepada Selangor di Stadium Shah Alam hasil jaringan bekas pemain TFC, Mohd Faiz Nasir.

Mengulas lanjut, Dr Najmil juga menuntut pemain yang bakal diturunkan nanti perlu beraksi sebaik mungkin bagi mengelak skuad Penyu terus 'menangis' buat kali ketiga berturut-turut.

"Bagi kami pemain tiada pilihan lain melainkan wajib menang bukan hanya untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga tetapi untuk menyuntik semangat mereka bertemu Kelantan United nanti pada aksi Piala FA pusingan ketiga selain mengekalkan kesetian peminat," kata Dr Najmil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 10:42 PM