PIYA (kiri) tidak mempunyai majikan buat masa sekarang.
PIYA (kiri) tidak mempunyai majikan buat masa sekarang.
Syazwan Msar

JIKA ada anugerah untuk Pemain Paling Malang, mungkin bekas tonggak Kelantan, Mohd Badhri Radzi atau Piya boleh menjadi antara calonnya.

Apakan tidak, sejak kebelakangan ini, Piya sentiasa dirundung masalah kerana sudahlah masa depannya bersama skuad Perlis gelap begitu saja, malah tunggakan gajinya bersama Kelantan juga masih belum selesai hingga hari ini.

Piya mendakwa, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) hingga kini masih ‘berhutang’ RM180,000 kepadanya dan dengan dia yang kini tidak lagi menyarung jersi mana-mana pasukan, sudah tentu masalah berkenaan amat menyedihkan baginya.

Bekas kapten The Red Warriors (TRW) itu mendakwa, ketika pemain lain sudah menarik nafas lega selepas menerima tunggakan gaji masing-masing, dia pula tidak ubah seperti peminta sedekah apabila KAFA mengambil sikap berdiam diri mengenai tuntutannya.

Katanya, masalah sama turut melanda beberapa rakannya yang lain dan walaupun masalah itu sudah diadukan kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), namun nasib mereka masih belum dibela.

“Saya juga terkejut baru-baru ini ada laporan mengatakan KAFA hanya mempunyai baki hutang berjumlah kira-kira RM38,000 saja, sedangkan tunggakan gaji saya sendiri hampir mencecah RM200,000.

“Baru-baru ini, ada dengar mengenai pemberian wang deposit dan kemenangan kepada pemain yang mempunyai tunggakan gaji namun saya bukan antara penerimanya,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, bekas pemain kebangsaan itu mendakwa kali terakhir dia menerima gaji daripada KAFA adalah pada April tahun lalu.

Namun, Piya yang mengambil keputusan untuk berpindah ke Perlis bagi mengubah nasibnya, sekali lagi ditimpa musibah apabila turut tidak dibayar gaji sepanjang bersama Singa Utara.

Hingga kini, Piya tidak mempunyai majikan dan mungkin terpaksa menunggu hingga jendela perpindahan bulan depan jika ada pasukan yang mahukan khidmatnya.

“Setakat ini, saya belum di risik mana-mana pasukan dan kemungkinan untuk sertai Kelantan agak berat dengan rekod tunggakan gaji sebelum ini. Buat masa ini, jika tidak ada pasukan yang mahukan khidmat saya, biarlah saya berehat dulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 6:00 AM