AZRAI Aizad (kanan) berjaya tarik perhatian Oltmans. -Foto fail
AZRAI Aizad (kanan) berjaya tarik perhatian Oltmans. -Foto fail
Ferzalfie Fauzi


ANTARA yang bakal mencuri tumpuan untuk skuad 18 terakhir ke Piala Sultan Azlan Shah minggu ini ialah penyenaraian pemain muda oleh jurulatih hoki negara, Roelant Oltmans.

Jurulatih kelahiran Belanda itu mungkin akan memberi peluang kepada dua pemain muda yang sedang meningkat, Azrai Aizad Abu Kamal dan Arif Syafie Ishak menjelang kejohanan berkenaan di Ipoh, Perak.

Kedua-dua pemain berkenaan belum diumumkan secara rasmi untuk berada dalam skuad 18 pemain namun daripada sumber yang diterima Oltmans sudah mengumumkan nama dalam sesi latihan terakhir di Kuantan semalam kepada semua 28 pelatih skuad kebangsaan.

Dua lagi pemain yang dikatakan menarik perhatian Oltmans adalah pertahanan Pasukan Hoki Terengganu (THT), Luqmanul Hakim Ahmad Syukran dan penjaga gol Maybank, Zaimi Mat Deris.

Kehadiran keempat-empat muka baru itu dikatakan mampu untuk memantapkan lagi skuad negara yang diletakkan sebagai pilihan kedua selepas ketiadaan tonggak berpengalaman seperti, Sukri Mutalib, Syed Syafiq Syed Cholan dan penjaga gol, S Kumar.

Lebih mengukuhkan lagi pemilihan Azrai yang berusia 20 tahun ialah dia sendiri mengakui sudah diberitahu oleh jurulatih mengenai pemilihannya.

“Memang saya agak terkejut apabila diberitahu oleh jurulatih terpilih dalam senarai 18 pemain semalam, Insya-Allah saya akan melakukan yang terbaik.

“Lebih manis, penampilan sulung saya ini hadir di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh yang menjadi gelanggang latihan saya sejak di bangku Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson,” katanya yang sebelum ini beraksi dalam saingan Piala Sultan Johor (SOJC) 2018 dan 2017 bersama pasukan remaja kebangsaan.

Pertahanan, Najmi Farizal Jazlan yang memilih untuk berehat seketika juga kembali berada dalam senarai pemain yang akan dibawa Oltmans ke kejohanan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 6:55 PM