Pemain THT, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran (kiri) diasak oleh pemain UiTM, Mohamad Izuan Azhar dalam saingan Liga Hoki Malaysia 2019 di Stadium Hoki Batu Buruk. FOTO Rozainah Zakaria
Pemain THT, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran (kiri) diasak oleh pemain UiTM, Mohamad Izuan Azhar dalam saingan Liga Hoki Malaysia 2019 di Stadium Hoki Batu Buruk. FOTO Rozainah Zakaria
Malik Muhamad


JUARA liga musim lalu, Pasukan Hoki Terengganu (THT) terpaksa menerima hakikat apabila sekadar berpuas hati di tempat ketiga dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini walaupun berjaya menundukkan Universiti Teknologi Mara (UiTM), 4-2 di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB), Kuala Terengganu, sebentar tadi.

THT yang sudah tersingkir perebutan juara dan naib juara liga itu dilihat bermula hambar dan hampir diberi 'kuliah' pasukan lawan yang lebih banyak mengatur serangan.

Bagaimanapun pada minit keenam, tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi situasi gol padang hasil jaringan Mohamad Shazwi Rani.

Pelawat yang dilihat lebih banyak mendominasi permainan berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-13 melalui sentuhan pemain berbakat, Mohd Azwar Abd Rahman.

Skuad THT yang dilihat bergelut untuk merakam kemenangan berjaya memimpin semula perlawanan selepas penyerang sensasinya, Faizal Saari meledak gol kedua pasukannya pada minit ke-44 berpunca pukulan sudut penalti.

Hasil gerakan satu dua antara Jung Man Jae dengan Gonzalo Merino, skuad kendalian I Vikneswaran menambah jaringan ketiga menerusi Merino pada minit ke-53 yang tidak berdepan masalah menewaskan penjaga gol pelawat, Muhammad Hafizuddin Mohd Emran untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Sikap tidak putus asa dan melawan pasukan UiTM membuahkan hasil apabila mendapat pukulan penalti yang disudahkan oleh Muhammad Haikal Abd Mutalib pada minit ke-58 yang mudah menewaskan penjaga gol, Hafizuddin Othman.

Seminit sebelum tamat permainan, Man Jae meledak jaringan keempat pasukannya untuk menjadikan kedudukan 4-2 hingga tamat perlawanan.

Sementara itu, Vikneswaran sedikit berang dengan prestasi anak buahnya yang gagal mempamerkan aksi sebenar dalam perlawanan kedua terakhir itu.

"Kita bermula dengan baik selepas menghasilkan satu jaringan, tapi selepas itu aksi mereka hambar sebelum kembali bangkit pada suku keempat liga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 7:42 PM