PEMAIN Selangor gembira meraikan jaringan German pada babak pertama menentang FELDA United di Stadium Shah Alam, sebentar tadi. - FOTO Nurul Shafina Jemenon
PEMAIN Selangor gembira meraikan jaringan German pada babak pertama menentang FELDA United di Stadium Shah Alam, sebentar tadi. - FOTO Nurul Shafina Jemenon
Firdaus Hashim


HADIN Azman tidak berbohong apabila dia menyatakan amat memahami corak permainan ditampilkan B Sathianathan, pengendali FELDA United musim lalu.

Tidak hairanlah kapten FELDA berusia 24 tahun itu memadamkan impian Selangor dan Sathianathan memulakan kempen Liga Super dengan langkah kanan apabila hanya seri 1-1 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Ketika ketinggalan 0-1, Hadin menyamakan kedudukan menerusi gerakan solo yang mengelirukan benteng pertahanan Red Giants termasuk penjaga gol Khairul Azhan Khalid pada minit ke-69.

Ramai menyangka Hadin akan melakukan hantaran silang ke dalam kotak penalti lawan sebaliknya bekas pemain Harimau Muda itu mengecewakan Khairul Azhan dengan rembatan padu yang menerjah jaring dari sudut sukar.

Tuan rumah juga berasakan gol awal pada minit ke-41 hasil rembatan menarik pemain kebangsaan Grenada, Antonio German dari luar kotak penalti sudah cukup untuk memastikan mereka pulang dengan tiga mata.

Sathianathan dan anak buahnya pasti kecewa kerana mereka mensia-siakan beberapa peluang sekalipun menurunkan penjaring gol terbanyak Liga Super musim lalu, Rufino Segovia.

Keputusan seri itu juga mengecewakan lebih kurang 10,500 penyokong setia skuad Red Giants yang kembali memenuhi stadium selepas hampir dua musim menyewa Stadium Majlis Perbandaran Selayang dan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 11:34 PM