Penyokong pasukan Melaka United menunjukkan jersi baharu warna hijau - putih ‘keramat’. FOTO NSTP/ RASUL AZLI SAMAD
Penyokong pasukan Melaka United menunjukkan jersi baharu warna hijau - putih ‘keramat’. FOTO NSTP/ RASUL AZLI SAMAD
Nazri Abu Bakar


AYER KEROH: Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) mengekalkan jersi warna hijau putih bagi saingan Liga Malaysia musim ini.

Warna jersi terbabit dipertontonkan kepada umum sempena Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain yang disempurnakan Presiden MUSA yang juga Ketua Menteri, Adly Zahari, di Melaka Mall, di sini, hari ini.

Adly berkata, warna terbabit relevan berikutan melambangkan kesucian dan kebenaran bertepatan dengan moto kerajaan negeri iaitu 'Pintar, Hijau, Bersih', sekali gus menitikberatkan ketelusan dan integriti termasuk dalam bidang sukan.

Beliau turut mengharapkan 2019 bakal membawa kejayaan lebih gemilang buat skuad MU selepas kali akhir muncul juara Liga Perdana 2016.

“Perbelanjaan besar disediakan untuk tujuan itu terutama penyenaraian pemain berpengalaman,” katanya.

Skuad Hang Tuah musim ini turut diperkuat empat bekas kapten kebangsaan termasuk Khairul Fahmi Che Mat, Razman Roslan, Shukor Adan dan Safiq Rahim.

Sementara, pemain import pula terdiri daripada Liridon Krisniqi (Kosovo), Jang Suk Won (Korea Selatan), Darko Markovic (Montenegro), Anselmo Casagrande serta Patrick Reichelt (Filipina).

"Dengan barisan pengalaman pemain terbaik, kami yakin skuad ini mampu memberi saingan kepada pasukan hebat termasuk Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang.

"Apapun kebajikan pemain sentiasa menjadi keutamaan, sekali gus memastikan mereka sentiasa meningkatkan corak persembahan," kata Adly.

MU bakal membuka tirai Liga Super berdepan MIFA di Stadium Hang Jebat, pada 2 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 6:01 PM