YOUNG (kanan) berada dalam radar Inter. -Foto Reuters
YOUNG (kanan) berada dalam radar Inter. -Foto Reuters
Agensi

MILAN: Inter Milan bersedia menawarkan kontrak dua tahun kepada pemain Manchester United, Ashley Young.

Pemain berusia 33 tahun itu bebas untuk berbincang dengan kelab luar kerana kontraknya akan tamat pada musim panas nanti dan masih belum menandatangani perjanjian baharu di United.

United sudah berbincang untuk memberikan Young sambungan kontrak setahun.

Young melakukan 19 penampilan buat United dalam semua kejohanan musim ini dan masih kekal selaku pemain penting dalam skuad.

Pertahanan kanan itu sentiasa menjadi pilihan Jose Mourinho dan juga dipuji Ole Gunnar Solskjaer, yang meletakkan Young dalam skuad ketika menang 4-1 mengatasi Bournemouth Ahad lalu.

Young sudah menjaringkan satu gol dan tiga bantuan untuk gol dari pertahanan yang menawarkan lebih peluang buat pasukan.

Dia juga beraksi baik buat England hingga mara ke separuh akhir dan kekal mantap walaupun sudah berada di kemuncak karier.

Bekas pemain Aston Villa itu berpindah ke Old Trafford pada 2011 dengan yuran perpindahan £17 juta (RM89 juta) dan memenangi trofi Liga Perdana, Piala FA dan Piala Liga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 9:27 AM