Hamidin dapat pencalonan. FOTO HM Digital
Hamidin dapat pencalonan. FOTO HM Digital
Zulfaizan Mansor

 

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dicalonkan sebagai Naib Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Perkara itu disahkan AFC dalam senarai calon dikeluarkan badan induk berkenaan, hari ini, dengan pemilihan dijangka berlangsung pada 6 April tahun depan.

“Mengikut Artikel 32.1 Statut AFC (Edisi 2018), ahli gabungan persatuan dimaklumkan pemilihan anggota Jawatankuasa Eksekutif AFC (penggal 2019-2023) akan diadakan pada Kongres AFC ke-29 di Kuala Lumpur pada 6 April 2019.

“Ahli gabungan diberikan tempoh sehingga tengah malam (waktu Malaysia) pada 6 Disember lalu untuk mengemukakan pencalonan mengikut kehendak dinyatakan dalam Statut AFC (Edisi 2018) dan Kod Pemilihan AFC (Edisi 2018),” kata AFC.

Bagi jawatan presiden, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa turut dicalonkan untuk mengekalkan jawatan nombor satu itu dan akan bersaing bersama dua calon lain - Saoud A Aziz Al Mohannadi dan Mohamed Khalfan Matar Saeed Alromaithi. 

Lima jawatan naib presiden bakal menjadi rebutan dengan Hamidin menjadi salah satu daripada empat calon dari rantau Asia Tenggara.

Tiga lagi calon untuk merebut jawatan itu termasuk Presiden Persatuan Bolasepak Thailand, Somyot Poompanmoung, Dr Tran Quoc Tuan (Ahli Jawatankuasa Persekutuan Bolasepak Vietnam) dan Zaw Zaw (Presiden Persekutuan Bolasepak Myanmar).

Pada kongres itu juga, badan induk berkenaan akan memilih enam ahli majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan sembilan ahli jawatankuasa AFC.

Ketika ini, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menjadi wakil tunggal Malaysia di AFC dengan memegang jawatan sebagai ahli majlis FIFA.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 3:25 PM