UNAI EMERY
UNAI EMERY
AFP

LONDON: Unai Emery menyifatkan kemenangan 4-2 Arsenal ke atas seteru tetangga London, Tottenham sebagai petunjuk jelas kebangkitan skuad kendaliannya.

Skuad bimbingan Emery meneruskan deretan tanpa kalah kepada 19 perlawanan dalam semua kejohanan selepas bangkit daripada ketinggalan 1-2 dalam aksi yang dianggap antara paling menarik dalam kempen Liga Perdana Inggeris musim ini.

Penalti Pierre-Emerick Aubameyang meletakkan Arsenal di depan sebelum tandukan Eric Dier dan rembatan Harry Kane menyaksikan Tottenham mendahului berakhir separuh masa pertama di Emirates.

Terdahulu, keraian Dier ketika menjaringkan gol mencetus kekecohan di bangku simpanan Arsenal dan kehangatan itu tidak padam apabila Aubameyang kembali menyamakan kedudukan pada babak kedua menerusi rembatan jarak jauh menarik.

Alexandre Lacazette yang dimasukkan selaku pemain gantian meletakkan Arsenal di depan sebelum Lucas Torreira mengesahkan tiga mata dengan meledak gol sulungnya bersama kelab itu.

Bagi menambah hari yang duka buat Spurs, pertahanannya Jan Vertonghenb diarah keluar padang di penghujung perlawanan dengan dia turut menjadi punca kepada gol penalti Arsenal.

“Ia perlawanan yang amat penting untuk keyakinan kami. Kini kami perlu meneruskan prosesnya,” kata Emery. “Ia kemenangan yang besar. Kami menghadiahkan kemenangan ini kepada penyokong kerana ia perlawanan menentang Tottenham amat istimewa.”

Untuk Arsenal, ia adalah kemenangan kedua dalam sembilan perlawanan liga pada aksi tetangga Utara London dan ia tampak tiba tepat pada masanya buat Emery dengan skuad kendaliannya kini memintas Tottenham untuk menghuni tangga keempat liga.

Emery dalam pada itu memberi amaran kepada pemainnya mereka tidak boleh terbawa-bawa dengan kemenangan itu selepas dijadual bertemu Manchester United, Rabu ini.

“Kami gembira dan meraikannya. Tetapi Tottenham menewaskan Chelsea tetapi kemudian mereka tewas kepada kami. Ia adalah contoh yang baik bagi kami dan kini adalah masa untuk memikirkan perlawanan dengan Manchester United.” 

“Kami tahu perlawanan pasti amat sukar di Manchester. Kami akan melakukan persiapan sebaik yang mungkin. Ia adalah cabaran yang besar buat kami,” kata Emery.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 8:12 AM