ROGER FEDERER
ROGER FEDERER
AFP

BASEL, Switzerland: Roger Federer memenangi perlawanan ke-17 berturut-turut buatnya pada kejohanan Dalam Dewan Switzerland awal pagi tadi selepas membenam Jan-Lennard Struff 6-3, 7-5 untuk melangkah ke suku akhir.

Pilihan utama itu yang mencatat rekod tanpa kalah di Basel sejak 2013, adalah juara lapan kali pada kejohanan di laman sendiri itu dan dijadual bertemu pemain Perancis, Gilles Simon yang menewaskan Ernests Gulbis dari Latvia 7-6 (7/4), 7-6 (7/0).

Federer mengakui dia tidak berpuas hati dengan permulaannya yang perlahan, meraih ‘break’ pada permainan ketiga.

“Saya tidak rasa begitu baik dalam permainan kali ini. Sudah lama rasanya saya tidak melalui perlawanan tanpa ‘break’. Saya perlu memperbaikinya pada pusingan seterusnya.”

Pemain berusia 37 tahun itu yang berada di ranking ketiga dunia, ketinggalan dengan ‘break’ awal tetapi kemudiannya bangkit bagi menyamakan kedudukan 3-3 di set pembukaan.

“Permulaan yang berliku buat saya, saya perlu perkemaskan permainan saya, saya gembira mengenainya,” kata Federer.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 8:11 AM