Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Pemain ‘import’ pertama negara, Mohamadou Sumareh akan menjadi pertaruhan terbaik skuad kebangsaan dalam misi meneruskan rentak kemenangan apabila turun menentang Sri Lanka pada aksi persahabatan di Stadium Sugathadasa, malam esok.

Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui kemampuan pemain sayap kelahiran Gambia itu yang lebih mesra dipanggil ‘Keli Boy’ untuk memecahkan benteng pertahanan yang ‘liat’ amat diperlukan bagi merobek gawang lawan.

“Aksinya (Sumareh) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sedikit berbeza kerana dia lebih kepada corak permainan individu tetapi kita memerlukan pemain sebegini untuk menembusi kawasan pertahanan lawan.

“Saya mengharapkan dia dapat mengekalkan corak permainan secara berpasukan dan itulah yang saya mahukan jika dia diturunkan untuk aksi Jumaat ini (malam esok).

“Kemasukan Sumareh juga memberi pilihan kepada saya di jentera serangan dan semoga penyerang yang diturunkan dapat mencari keserasian yang terbaik,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas di Colombo, malam tadi.

Terdahulu, Cheng Hoe hanya membawa 22 pemain ke Colombo selepas menggugurkan tiga pemain iaitu Rawilson Batuil, Akram Mahinan dan Nor Hakim Hassan susulan kecederaan namun membawa pemain tengah skuad Bawah 19 tahun negara (B-19), Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Mengulas lanjut aksi bertemu Sri Lanka yang menduduki ranking ke-199 dunia itu, Cheng Hoe menegaskan beliau masih lagi mencari keserasian dan kombinasi terbaik yang bakal digunakan pada saingan Piala AFF Suzuki 2018 yang akan berlangsung bulan depan.

“Keputusan positif tetap dimahukan kerana pemain perlu terus meningkatkan prestasi dalam setiap perlawanan walaupun ia hanyalah perlawanan persahabatan.

“Saya juga akan memberi peluang kepada pemain yang baru dipanggil untuk membuktikan keupayaan masing-masing sebelum memutuskan senarai akhir ke Piala AFF Suzuki 2018 nanti,” kata Cheng Hoe yang memburu kemenangan keempat sejak mengendali skuad kebangsaan hujung tahun lalu.

Selepas aksi di Colombo, anak buah Cheng Hoe yang menduduki ranking ke-171 dunia akan bertemu Republik Krygyz di Stadium Hang Jebat, Selasa ini dan satu lagi aksi persahabatan menentang Maldives pada 3 November di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menerusi lima aksi persahabatan yang diharungi sebelum ini, anak buah Cheng Hoe berjaya meraih tiga kemenangan iaitu 7-0 ke atas Bhutan,  Fiji (1-0) dan Kemboja (3-1) namun terikat 2-2 menentang Mongolia pada aksi sulung dan tewas 0-2 di tangan Taiwan.

habis

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 3:03 PM