JOSE MOURINHO
JOSE MOURINHO
AFP

LONDON: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho terselamat daripada hujung minggu yang liar di Old Trafford dalam apa digambarkannya sebagai ‘satu pemburuan’ selepas permulaan yang sukar musim ini.

Namun kebangkitan selepas ketinggalan 2-0 untuk menewaskan pasukan bawahan Newcastle 3-2 terbukti hanya sedikit mengelakkan Mourinho daripada dihukum, dengan pertembungan lebih sukar akan berlangsung selepas ini.

Dia berkata sudah menerima mesej daripada ahli kanan majlis, dipercayai naib pengerusi eksekutif Ed Woodward, sebelum sepak mula Sabtu lalu memberitahunya untuk tidak mempedulikan laporan bahawa dia akan dipecat tanpa mengambil kira keputusan menentang Newcastle.

“Ada banyak kejahatan dan jelas satu pemburuan,” kata bos berusia 55 tahun dari Portugal itu dalam sidang akhbar yang tegang selepas perlawanan.

“Saya rasa hidup dibuat hasil pengalaman dan sebahagiannya baru dan sebahagian lagi sudah berlaku. Ini adalah baru dan saya rasa ia menjadikan saya pengurus yang lebih baik, orang yang lebih baik.”

Kebimbangan buat United ialah, perkara ini bukan sesuatu yang baru buat Mourinho.

Pada musim ketiganya bersama Chelsea dan Real Madrid juga berakhir dengan pemergian tidak dijangka selepas keputusan buruk dan bertelagah dengan pemain utama.

Untuk menyelamatkan tugas Mourinho, sekurang-kurangnya buat waktu ini, perlunya perubahan dalam persembahan pada babak kedua di Old Trafford.

Kritikan sering kedengaran mengenai pendekatan jurulatih itu yang sangat berhati-hati dan hanya selepas skuad kendalian Mourinho ketinggalan 2-0, mereka mula kelihatan seperti United yang lama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 1:07 PM