MUHAMAD MUSLIM YUSOF
MUHAMAD MUSLIM YUSOF
Malik Muhamad


KUALA TERENGGANU: Pemain Terengganu City FC (TCFC) kini menarik nafas lega apabila pengurusan pasukan mengumumkan mereka sah akan bersaing dalam pentas Liga Perdana, musim depan.

Malah pemain skuad itu juga mengakui begitu teruja dan berterima kasih kepada pengurusan TCFC kerana menjaga ‘periuk nasi’ pemain untuk musim depan, selepas bermati-matian beraksi musim ini sebelum bergelar juara Piala FAM.

Kapten skuad itu, Muhamad Muslim Yusof, 24, adalah antara pemain paling gembira dan berterima kasih kepada pengurusan kerana menamatkan spekulasi yang mengatakan TCFC mahu menarik diri daripada Liga Perdana akibat masalah kewangan.

“Saya lega dan berharap TCFC lebih maju dan berdaya saing di Liga Perdana. Kami tetap ada peluang merebut gelaran juara lagi,” kata Muslim yang masih menantikan pengumuman rasmi kepada pemain mengenai keputusan itu.

Bagi pemain terbaik perlawanan akhir Piala FAM, Mohd Khairul Ramadhan Mohd Zauwawi, berita itu meredakan tekanan serta kegelisahan pemain kerana nasib mereka masih tidak menentu untuk musim depan.

“Saya semakin bersemangat mendengar perkhabaran itu. Ini bermakna, tidak ramai pemain yang akan menganggur pada tahun depan, lebih-lebih lagi selepas kami bertungkus-lumus beraksi sebelum bergelar juara.

“Bagaimanapun saya harap pengurusan TCFC memaklumkan segera keputusan itu secara rasmi dan serta tidak mengulangi kesilapan lalu. Kami perlu berusaha memperbaiki kekurangan sebelum beraksi di Liga Perdana tahun depan,” kata Ramadhan.

Semalam, sukan NSTP melaporkan pengurus Terengganu City FC (TCFC), M Rezal Abu Bakar mengesahkan skuad itu akan bersaing dalam saingan Liga Perdana musim 2019.

Jawapan daripada pengurus TCFC itu sekali gus menamatkan spekulasi skuad itu yang dikatakan bakal menarik diri berikutan dihimpit masalah kewangan dan lebih parah, mereka juga tidak akan mendapat tajaan kerajaan negeri Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 11:15 AM