LEGENDA bola sepak Perlis, Yusri Che Lah. FOTO Hafizudin Mohd Safar
LEGENDA bola sepak Perlis, Yusri Che Lah. FOTO Hafizudin Mohd Safar
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


SUDAH tiba masanya Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) berdiri di atas kaki sendiri tanpa mengharap mana-mana bantuan atau dana individu politik untuk kekal beraksi di kancah Liga Malaysia pada musim hadapan.

Legenda bola sepak Perlis, Yusri Che Lah ketika dihubungi berkata, kebergantungan pentadbiran PFA terhadap dana politik dalam membentuk pasukan sebelum ini menjadi faktor bahawa PFA tidak mampu gah di persada liga selepas ketiadaan individu politik yang mahu menaja mereka.

Beliau mengakui kecewa dan sedih sekiranya skuad yang diberi julukan Singa Utara itu dibubarkan memandangkan ia adalah pasukan awal yang membantu dirinya mencipta nama dalam arena bola sepak.

"Agak malang sekiranya pasukan Perlis dibubarkan namun atas dasar profesional, kita mesti mengenal pasti punca utama kenapa pasukan yang dahulunya gah mencipta nama kini hilang taringnya.

"Pentadbiran PFA perlu berdikari dan tidak boleh menjadikan alasan bahawa perubahan politik semasa yang menentukan kekuatan dan prestasi pasukan bola sepak negeri," kata ketua jurulatih pasukan Kelantan itu.

Menurut Yusri, PFA perlu mengambil contoh dari pasukan negeri lain seperti pasukan Kelantan yang sekian lama bermain dalam liga tanpa sebarang bantuan atau dana dari kerajaan negeri.

"Kelantan adalah pasukan dari dahulu tidak mendapat bantuan dari kerajaan negeri, namun pentadbiran KAFA (Persatuan Bolasepak Kelantan) berjaya membuktikan bahawa bola sepak tidak memerlukan politik untuk berdiri.

"Hari ini pentadbiran PFA mesti mengakui bahawa kegagalan mereka hari ini berpunca dari mereka sendiri dalam mengurus tadbir pasukan.

"Mereka (pentadbiran PFA) perlu buktikan bahawa mereka boleh berdiri atas kaki sendiri meskipun kekangan dana kini membelenggu persatuan dan kasihanilah rakyat Perlis yang dahagakan kemenangan di Stadium Tuanku Syed Putra Kangar," katanya.

Katanya lagi, pengurusan PFA perlu berubah dan tidak menjadikan PFA sebagai batu loncatan untuk mencipta nama melalui persatuan itu yang secara tidak langsung merencatkan pembangunan bola sepak di Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 12:29 AM