PENYOKONG Marseille bertindak ganas di dalam stadium. FOTO/REUTERS
PENYOKONG Marseille bertindak ganas di dalam stadium. FOTO/REUTERS
AFP

PARIS: Gergasi bola sepak Perancis Marseille diberi amaran yang mereka mungkin akan disingkirkan daripada pertandingan di pentas Eropah sekiranya penyokong mereka terus membuat kacau.

Selepas beberapa insiden dalam perlawanan Liga Europa musim lalu – menentang RB Leipzig, Salzburg dan final bertemu Atletico Madrid, badan induk bola sepak Eropah UEFA memberikan tempoh percubaan untuk dua tahun kepada kelab berkenaan.

Jika insiden sama berulang, “Marseille (akan dipinggirkan) daripada menyertai pertandingan kelab UEFA berikutnya yang layak mereka sertai.”

Marseille dihukum di atas rusuhan penonton, kerosakan, menyalakan bunga api dan melontar objek ketika kempen Eropah musim lalu, kata UEFA dalam satu kenyataan.

Kelab itu, yang turut didenda 100,000 euro (RM474,754), akan bersaing dalam Liga Europa musim depan.

Bagaimanapun, salah satu perlawanan di laman sendiri di Stade Velodrome, akan berlangsung secara tertutup manakala baki perlawanan di venue sama akan menyaksikan bahagian utara dan selatan stadium ditutup.

“Kita semua sedar UEFA cukup tegas. Tetapi kami memerlukan penyokong kami, jika kami tidak ada penyokong pada perlawanan pertama Liga Europa, ia permulaan yang negatif,” kata pengendali Marseille, Rudi Garcia. – AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 8:11 AM