SAGAN. FOTO Agensi
SAGAN. FOTO Agensi
AFP

PELUMBA Slovakia, Peter Sagan mengukuhkan namanya selaku pakar pecut apabila meraih kemenangan peringkat ketiganya di perlumbaan jelajah berbasikal berprestij Tour de France (TdF), hari ini.

Sagan yang berlumba bersama pasukan Bora menjuarai perlumbaan peringkat ketiga yang bermula di Bourg d'Oisans ke Valence.

Selepas perlumbaan peringkat pendakian yang menjerihkan di Alpine, Sagan membuktikan dia masih lagi ‘berbisa’ ketika ramai pakar pecut lain seperti Mark Cavendish, Marcel Kittel, Andre Greipel dan Dylan Groenewegen tampak sudah mengalah.

“Sesuatu yang amat cantik untuk menang hari ini selepas tiga hari di Alps,” kata Sagan yang memenangi 11 kemenangan peringkat dalam kariernya di TdF.

Kemenangan menyaksikan Sagan turut mengukuhkan kedudukannya dalam pemburuan Jersi Hijau (pungutan mata) dengan mengumpul 398 mata.

Pelumba Norway, Alexander Kristoff (UAE) yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua mengumpul 170  mata manakala pelumba Perancis, Arnaud Demare dari pasukan Groupama ketiga (133 mata).

“Saya berada di belakang (Alexander) Kristoff, dan selepas itu saya memulakan gerakan,” kata Sagan. “Ia menakjubkan. Pasukan benar-benar melakukan kerja yang menakjubkan hari ini.”

Selepas meraih tiga kemenangan, sasaran Sagan berikutnya adalah untuk memenangi peringkat terakhir di Champs Elysees.

Sementara itu, pelumba Britain, Geraint Thomas yang masih segar dengan dua kemenangan peringkat di pergunungan Alps mengekalkan Jersi Kuning (keseluruhan).

Pelumba kelahiran Wales itu mengatasi rakan sepasukannya dari Sky, Chris Froome dengan 1 minit 39 saat (s) manakala pelumba Belanda, Tom Dumoulin (Sunweb) ketiga ketinggalan 1:50s.

“Saya berharap untuk mengekalkan jersi ini selama yang mungkin,” kata Thomas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 1:11 AM