SEBAHAGIAN 30 pesilat SUKMA Pahang yang akan beraksi di Perak.  -Foto ASROL AWANG
SEBAHAGIAN 30 pesilat SUKMA Pahang yang akan beraksi di Perak. -Foto ASROL AWANG
Asrol Awang


KUANTAN: Biarpun menampilkan sebahagian besar pesilat baharu, Persatuan Silat Negeri Pahang (PESAKA Pahang) yakin mampu membawa pulang lima emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak, September ini.

Setiausaha PESAKA Pahang, Datuk Osman Nok berkata, keyakinan itu berdasarkan pencapaian dan prestasi semasa yang dipersembahkan oleh 18 pesilat dalam acara silat olahraga dan 12 pesilat silat seni.

“Setakat ini, komitmen semua pesilat amat memuaskan dan mereka giat menjalani latihan intensif untuk mencapai sasaran lima emas.

“Biarpun sasaran kurang satu daripada enam emas yang diraih pada SUKMA Sarawak dua tahun lalu, kami mahu semua pesilat komited terutama mengekalkan disiplin.

“Jika melebihi sasaran, ia adalah bonus buat pasukan kerana saingan getir bakal dihadapi daripada pasukan lain seperti Terengganu, Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya di sini, hari ini.

Bagi memastikan pesilat berada pada prestasi terbaik, Osman berkata, pihaknya turut mengadakan beberapa siri aksi persahabatan untuk menilai prestasi atlet.

Katanya, ia termasuk aksi persahabatan dengan pesilat Sabah yang diyakini membantu meningkatkan keupayaan diri terutama dari segi kekuatan mental.

“Bukan saja soal ketangkasan, malah disiplin sepanjang latihan turut diberi penekanan untuk memastikan mereka benar-benar bersedia.

“Dengan latihan intensif, kita percaya 30 pesilat yang disenaraikan ini mampu mengharumkan nama Pahang terutama mencapai sasaran lima emas pada SUKMA kali ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 5:06 PM