SKUAD B-23 kebangsaan diundi sekumpulan dengan Korea Selatan lagi. -Foto BERNAMA
SKUAD B-23 kebangsaan diundi sekumpulan dengan Korea Selatan lagi. -Foto BERNAMA
Syafiq Aznan


PENYANDANG juara, Korea Selatan dijangka menjadi halangan terbesar buat skuad bawah 23 tahun (B-23) negara pada aksi Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang akan bermula 18 Ogos depan.

Ini selepas anak buah Datuk Ong Kim Swee itu sekali lagi diletakkan dalam satu kumpulan yang sama selepas kedua-dua pasukan turut diundi dalam Kumpulan A pada temasya berlangsung di Korea Selatan, empat tahun lalu.

Berdasarkan undian di Jakarta hari ini, dua lagi pasukan iaitu Kyrgyzstan dan Bahrain melengkapkan empat pasukan dalam Kumpulan E.

Korea Selatan tampil dengan reputasi tinggi bertepatan dengan status mereka sebagai juara bertahan dan juga pemenang pingat emas empat kali temasya terbabit.

Pencapaian terbaik skuad negara pula meraih gangsa pada edisi 1962 dan 1974 namun edisi empat tahun lalu menyaksikan Malaysia sekadar menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga ketiga di belakang Korea Selatan dan Arab Saudi.

Kyrgyzstan pula mara ke pusingan 16 terbaik pada edisi 2014 namun tewas di 0-2 di tangan Jordan manakala Bahrain gagal melayakkan diri ke Sukan Asia 2014.

Sebagai rekod, acara bola sepak Sukan Asia 2018 akan disertai 24 pasukan yang dibahagikan kepada enam kumpulan dengan juara dan naib juara kumpulan serta empat pasukan di tempat ketiga terbaik akan layak ke pusingan 16 terbaik.

UNDIAN SUKAN ASIA 2018

Kumpulan A: Indonesia, Hong Kong, Laos, Taiwan

Kumpulan B: Thailand, Uzbekistan, Bangladesh, Qatar

Kumpulan C: Iraq, China, Timor Leste, Syria

Kumpulan D: Jepun, Vietnam, Pakistan, Nepal

Kumpulan E: Korea Selatan, Kyrgyzstan, Malaysia, Bahrain 

Kumpulan F: Korea Utara, Arab Saudi, Iran, Myanmar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 5:46 PM