JURIC tuntut  jentera serangan Australia lebih garang. FOTO/AFP
JURIC tuntut jentera serangan Australia lebih garang. FOTO/AFP
Agensi

SOCHI, Russia: Penyerang Australia, Tomi Juric menuntut jentera serangan pasukan itu supaya lebih garang pada aksi hidup mati bertemu Peru, esok.

Peluang skuad dengan julukan The Socceroos untuk mara ke pusingan 16 terbaik masih menyala selepas berjaya mengikat Denmark 1-1 pada aksi kedua namun mereka berdepan cabaran besar untuk menjadikan impian itu satu realiti.

Australia ketinggalan tiga mata di belakang Denmark yang hanya memerlukan keputusan seri pada aksi terakhir bertemu Perancis yang memimpin Kumpulan C dan sudah pun mengesahkan kemaraan ke peringkat seterusnya.

Dua gol yang dijaringkan Australia di Russia setakat ini adalah menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Mile Jedinak dan Juric mengakui corak serangan yang lebih baik menentang Peru akan membantu mereka mara lebih jauh.

“Apa yang lebih penting buat kami adalah mendapatkan keputusan yang dimahukan,” kata Juric.

“Kami turut perlu mengharapkan keputusan satu lagi aksi berpihak kepada kami jadi itu juga adalah satu faktor yang mustahak buat kami.

“Jika kami menjaringkan gol dan memenangi perlawanan, jadi saya tidak kisah bagaimana kami menjaringkan gol.

“Apa yang penting adalah kemenangan namun jelasnya, kami perlu menambahbaik kualiti di bahagian serangan dan lebih berkeyakinan untuk menyudahkan peluang dalam kawasan lawan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 1:54 PM