MESSI (kanan) enggan bersama Argentina selagi tidak mengucup Piala Dunia. FOTO/AFP
MESSI (kanan) enggan bersama Argentina selagi tidak mengucup Piala Dunia. FOTO/AFP
Agensi

BRONNITSY, Russia: Lionel Messi memberikan bayangan penuh beremosi mengenai obsesinya terhadap Piala Dunia apabila mengakui tidak mampu untuk bersara tanpa merangkul trofi berprestij itu.

Impian Argentina untuk meraih trofi itu kini ‘bagaikan di hujung tanduk’ apabila mereka seri di tangan Iceland sebelum ditundukkan Croatia 0-3 dan mereka perlu menewaskan Nigeria di Saint Petersburg, Selasa ini untuk mara ke peringkat kalah mati.

Namun Messi menyatakan Piala Dunia menjadi obsesinya terutama selepas sudah memenangi pelbagai trofi sepanjang kariernya.

“Trofi Piala Dunia memberi makna yang besar buat Argentina dan juga saya kerana ia istimewa.

“Saya sentiasa mengimpikan untuk merangkul Piala Dunia dan juga emosi yang hadir selepas memenanginya.

“Bulu roma saya berdiri dengan hanya memikirkan mengenai perkara ini. Ia akan menggembirakan jutaan penyokong Argentina di dunia ini.

“Jadi kami tidak boleh berputus asa untuk menggapai impian ini. Saya sudah memenangi pelbagai trofi namun saya tetap bercita-cita tinggi.

“Saya tidak mahu bersara tanpa menjadi juara dunia bersama pasukan kebangsaan saya.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 7:58 AM