NUNO ESPIRITO SANTO
NUNO ESPIRITO SANTO
AFP

LONDON: Wolves mengesahkan kepulangan semula ke kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas enam tahun apabila pencabar utama, Fulham diikat 1-1 Brentford dalam perlawanan Liga Kejuaraan, semalam.

Keputusan seri itu memberikan Wolves yang dikendali Nuno Espirito Santo jurang besar 10 mata yang tidak boleh lagi dipintas pasukan lain, tatkala berbaki tiga perlawanan saja lagi pada musim ini.

Sejak dibeli oleh syarikat China, Fosun International pada 2016, kepulangan Wolves ke EPL dikuatkan dengan pelaburan mewah, selain dikaitkan dengan ejen super dari Portugal, Jorge Mendes.

Antara deretan bintang yang dibawa masuk Wolves ialah pemain kebangsaan Portugal, Ruben Neves yang dibeli dengan rekod 15.8 juta pound (RM87.31 juta) dari Porto, Julai lalu dan sejak itu, kelab dari Midlands itu sentiasa menjadi pasukan yang ingin dikejar.

Selepas 42 perlawanan, Wolves ketika ini mengumpul 92 mata diikuti Cardiff, 83 mata manakala Fulham yang bermain lebih satu perlawanan di tangga ketiga dengan 82 mata ketika dua pasukan teratas akan mengesahkan tiket automatik ke EPL musim depan.

Begitupun, perbelanjaan besar Wolves mencetus rasa tidak puas hati daripada pasukan lain di saingan kedua liga Inggeris itu.

“Tahniah kepada pasukan terbaik tetapi harapnya liga boleh lebih adil dan saksama kepada semua 24 pasukan,” kata pemilik Leeds, Andrea Radrizzani selepas pasukannya tewas 0-3 kepada Wolves, bulan lalu.

“Tidak sah dan adil untuk membenarkan satu pasukan dimiliki dan dibiayai oleh orang yang memiliki pegangan dalam agensi pemain terbesar dengan bukti (kelab-kelab besar Eropah) memberikan pemain dengan pilihan untuk dibeli... mengapa 23 lagi pasukan tidak mendapat layanan yang sama?” 

Mendes adalah pengasas agensi Gestifute yang turut mewakili beberapa bintang terbesar dunia termasuk pemain Real Madrid, Cristiano Ronaldo.

Di atas padang, Wolves jelas sukar untuk dibendung apabila mengumpul kelebihan besar di puncak liga dan hanya tewas tiga daripada 27 perlawanan pembukaan pada kempen musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 2:34 PM