CHRISTIE yakin FELDA mampu kekal momentum kemenangan. FOTO/FAIL
CHRISTIE yakin FELDA mampu kekal momentum kemenangan. FOTO/FAIL
Asrol Awang

FELDA United FC yang mengungguli persada Liga Perdana mahu kedudukan terbaik itu kekal seiring dalam aksi suku akhir pertama Piala FA bertemu PKNP FC di Stadium Batu Kawan, esok.

Pemain tengah kelab itu, Christie Jayaseelan berkata, prestasi konsisten itu diyakini membantu untuk memastikan kemenangan berpihak kepada The Fighters.

Katanya, setakat ini, persediaan kelab itu pada prestasi terbaik untuk melangkah lebih jauh dalam saingan piala berprestij itu.

“Kami akan melakukan segala-galanya biarpun tuan rumah memiliki kelebihan beraksi di tempat sendiri. Tapi kami tidak akan membenarkan lawan berbuat demikian.

“Misi kami adalah mendapatkan slot separuh akhir dan kemenangan ke atas PKNP FC menjadi keutamaan sebelum aksi suku akhir kedua di Jengka, Pahang nanti.

“Fokus utama tidak boleh membiarkan lawan menguasai perlawanan terutama membolosi gawang FELDA United,” katanya.

Namun, Christie berkata, PKNP FC bukan lawan yang boleh ditewaskan dengan mudah jika bersandarkan kepada kejayaan layak beraksi dalam Liga Super musim ini.

“Sudah pasti mereka mahu mencatat keputusan terbaik dalam saingan Piala FA musim ini dan apabila berada pada tahap ini, semua pasukan mahukan kemenangan.

“Kelebihan yang mereka miliki apabila bertemu pasukan berpengalaman dalam Liga Super juga memerlukan kami kekal fokus dan tidak boleh memandang mudah keupayaan lawan.

“Oleh itu, kami akan pastikan lawan tidak mencatat kemenangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 3:32 PM