ATLET berbasikal Negara, Azizulhasni Awang. - Foto Mohd Fadli Hamzah
ATLET berbasikal Negara, Azizulhasni Awang. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Azlan Muhammad Zain

JAGUH berbasikal negara, Azizulhasni Awang mengakui mendapat motivasi baru ke Sukan Komanwel di Australia apabila velodrom bernilai RM7 juta di Dungun, Terengganu akan dinamakan sempena namanya.  

   

Dalam masa sama, dia turut terkejut dan terharu apabila perkara itu diumumkan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

   

"Ia memberi motivasi kepada saya untuk beraksi cemerlang sepanjang masa, bukan saja di Gold Coast. Saya amat terharu dan berterima kasih kepada semua yang terbabit," katanya.

   

Azizuhasni yang ditemui di sini, berkata pembinaan velodorom itu amat bermakna kepada dirinya kerana ia adalah tempat awal dia berkecimpung dalam sukan berbasikal.

   

"Ia hadir tepat pada masanya kerana saya terbang ke Gold Coast malam ini. Saya seorang pejuang, saya akan memberikan 110 peratus dalam gelanggang nanti. 

   

"Saya berharap keadaan akan bertambah baik apabila tiba di sana nanti," katanya yang masih belum pulih sepenuhnya daripada jangkitan virus.

   

The Pocket Rocketman dijadual bersaing dalam acara keirin dan pecut individu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 11:10 PM