JUAN Martin Del Potro menjalani pembedahan pergelangan tangan sebanyak empat kali, yang membantutkan perjalanan kariernya selepas mengukir nama pada 2009. - Foto EPA
JUAN Martin Del Potro menjalani pembedahan pergelangan tangan sebanyak empat kali, yang membantutkan perjalanan kariernya selepas mengukir nama pada 2009. - Foto EPA

MIAMI, Amerika Syarikat: Juan Martin del Potro menegaskan kekal cergas dan mampu bersaing jauh lebih penting berbanding memenangi gelaran Grand Slam keduanya.

Pemain Argentina itu tiba pada Terbuka Miami minggu ini selepas menewaskan pemain nombor satu dunia Roger Federer pada final Indian Wells Ahad lalu.

Melihat Del Potro menjulang trofi ATP Masters 1000 pertamanya membangkitkan semangat peminatnya yang sebelum ini bimbang pemain berusia 29 tahun itu tidak berpeluang menyertai kelompok handalan dunia selepas dibelenggu siri kecederaan yang hampir membuatkannya bersara pada 2015.

Del Potro menjalani pembedahan pergelangan tangan sebanyak empat kali, yang membantutkan perjalanan kariernya selepas mengukir nama apabila menewaskan Federer pada Terbuka Amerika Syarikat 2009 untuk menjulang kejuaraan besar pertamanya.

Musim 2018 bermula baik buatnya - kemenangan di Acapulco sebelum menguasai California memberi isyarat Del Potro kini sudah tidak dibayangi kecederaan yang menjadi batu penghalang kepada kempennya sejak beberapa tahun lalu.

“Saya tidak terlalu memikirkan mengenai Slam,” kata Del Potro.

“Saya hanya menikmati saatnya. Saya sedar apa yang sudah saya harungi untuk berada di sini dan di tempat ini dan ranking ini.

“Saya masih tenang. Saya datang ke sini untuk bermain satu lagi kejohanan. Ia kejohanan keempat berturut-turut saya. Saya letih. Secara mental dan fizikal ia bukan sesuatu yang mudah untuk ditangani dengan emosi yang ada sekarang.

“Tapi saya akan berehat, saya akan lihat kejohanan mana yang akan berlangsung di gelanggang tanah liat, kerana badan saya merasai permukaan itu dan saya mahu kekal cergas sepanjang musim.

“Itu matlamat utama saya. Kemudian saya akan lihat jika saya masih mampu mengejutkan diri saya sendiri dan lihat apa yang saya boleh buat.”

Del Potro kini menghuni ranking keenam dunia dan ketika Andy Murray serta Stanislas Wawrinka juga baru pulih daripada kecederaan, pintu terbuka luas buat pemain Argentina itu untuk mengejar kelompok teratas. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 10:10 AM