ZIDANE perlu tingkatkan motivasi anak buahnya. FOTO/AFP
ZIDANE perlu tingkatkan motivasi anak buahnya. FOTO/AFP
AFP

MADRID: Kegagalan Real Madrid di Valencia membawa kepada pelantikan Zinedine Zidane sebagai jurulatih kelab namun kesilapan sama buat juara Eropah dan Sepanyol di Mestalla hujung minggu ini mungkin menjejaskan karier jurulatih kelahiran Perancis itu.

Zidane dilantik sebagai jurulatih pada Januari 2016, sehari selepas Real dua kali mensia-siakan kelebihan apabila seri 2-2 di Valencia, dan menamatkan kerjaya Rafael Benitez.

Benitez dipecat selepas enam bulan dilantik namun Zidane masih mengendalikan skuad di Santiago Bernabeu biarpun aksi hambar kebelakangan ini berterusan dengan penyingkiran daripada Piala Raja Sepanyol pada suku akhir di tangan Leganes.

Zidane mengakui selepas perlawanan itu bahawa jawatannya kini terancam dengan pasukannya kini tersingkir daripada Piala itu dan menduduki tempat keempat La Liga, 19 mata di belakang pendahulu Barcelona.

Bagaimanapun aura yang mengelilingi Zidane yang mengecap kejayaan sepanjang dua musim masih dirasai sekiranya mampu mengubah nasib pasukan dengan pertembungan 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara menentang Paris Saint Germain selepas ini.

RONALDO (kiri) semakin morosot dan bertungkus-lumus untuk tingkatkan prestasi. FOTO/AFP
RONALDO (kiri) semakin morosot dan bertungkus-lumus untuk tingkatkan prestasi. FOTO/AFP

“Jika pada akhir tahun ini kami menjuarai Liga Juara-Juara ia akan menjadi tahun yang menakjubkan,” kata Cristiano Ronaldo, yang kemerosotan prestasinya kebelakangan ini mencetus kebimbangan kelab berkenaan.

“Kami tidak bermula dengan baik di liga musim ini. Kami kecewa, kami tidak gembira tetapi kami perlu berusaha ke arah Liga Juara-Juara, trofi yang paling penting.”

Real sewajarnya memberi tumpuan terhadap liga memandangkan kini semakin hampir ke zon penyingkiran dari aspek kutipan mata berbanding Barcelona.

Malah mereka ketinggalan lima mata di belakang Valencia di tangga ketiga, biarpun kurang satu perlawanan dan mereka tidak boleh tewas dalam perlawanan itu apatah lagi dengan Villarreal dan Sevilla juga semakin hampir.

“Kami berdepan antara pasukan terbaik dunia, biarpun mereka nampaknya tidak begitu cemerlang,” kata kapten Valencia, Dani Pareja, yang pernah menyertai akademi remaja Real.

“Kami berada di atas mereka dan bermain di tempat sendiri tetapi saya fikir Madrid adalah pasukan pilihan,” kata Parejo, yang pasukannya mara ke separuh akhir Piala Raja Sepanyol minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 10:32 AM