RAFAEL Nadal
RAFAEL Nadal
Reuters

Madrid: Rafael Nadal menarik diri daripada menyertai perlawanan pertunjukan pembuka tirai musim depan di Abu Dhabi berikutan masalah kecederaan, kata pemain nombor satu dunia itu.

Juara kejohanan grand slam 16 kali itu, yang menjuarai Terbuka Perancis dan Amerika Syarikat tahun ini, menarik diri daripada Jelajah Akhir ATP pada November selepas bergelut dengan kecederaan lutut ketika tewas kepada pemain Belgium David Goffin.

Bintang Sepanyol berusia 31 tahun itu yang pernah menyertai perlawanan itu pada edisi sebelumnya akan digantikan oleh rakan senegara Roberto Bautista Agut.

“Tahun 2017 sungguh mencabar dan saya perlu mengambil pendekatan berbeza tahun ini bagi memastikan saya sudah bersedia,” kata Nadal menerusi laman web Kejuaraan Tenis Dunia Mubadala.

“Untuk musim ini, dengan sedihnya saya mengumumkan kepada penganjur dan anda semua bahawa saya tidak akan bermain di Abu Dhabi kali ini.”

Stan Wawrinka dan Milos Raonic turut menarik diri daripada pertandingan itu yang akan diadakan dari 28 hingga 30 Disember ini.

Kejohanan Terbuka Australia, kejohanan utama sulung untuk musim baru ini akan bermula 15 Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 1:22 AM