SHUKOR (kanan) puji tahap profesional rakan sepasukan yang tidak cepat melatah. -Foto fail
SHUKOR (kanan) puji tahap profesional rakan sepasukan yang tidak cepat melatah. -Foto fail
Mohd Fitrie Muhamad


KAPTEN FELDA United FC, Shukor Adan menegaskan pemain The Fighters tidak ada sebab untuk merasa rendah diri gara-gara terpaksa beraksi di Liga Perdana, musim depan.

Tambah Shukor, apa yang berlaku tidak pernah melunturkan motivasi pemain malah segala kebajikan tetap diambil berat oleh pengurusan pasukan.

“Sebagai pemain, kami ikut apa yang dimahukan majikan untuk cuba membawa kembali pasukan ke Liga Super. Sepanjang bersama FELDA, tiada sebarang masalah yang dihadapi pemain dan kebajikan terjaga.

“Setakat ini, segalanya berjalan dengan baik. Dengan apa yang berlaku, kami sudah lupakan dan fokus untuk menghadapi saingan musim depan,” katanya

Sebelum ini, Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mengambil keputusan menurunkan skuad The Fighters ke Liga Perdana selepas gagal melengkapkan dokumen pelesenan kelab.

Namun pada masa sama, Shukor memuji tahap profesional rakan sepasukannya kerana tidak menunjukkan sebarang tekanan dengan apa yang dihadapi kelab itu.

Sebagai ‘orang lama’, Shukor mengingatkan pemain lain supaya tampil lebih matang dalam apa juga tindakan yang mahu diambil.

“Jurulatih (B Sathianathan) ada berkata Liga Perdana pun ada cabaran tersendiri dan bukan mudah untuk dihadapi.

“Pemain tahu dan sahut cabaran ini dengan baik malah mereka tetap menghormati kontrak yang ditandatangani.

“Tidak ada masalah pun malah komitmen pemain kepada pasukan cukup tinggi. Lupakan apa yang berlaku dan sahut cabaran ini untuk mengembalikan pasukan ke Liga Super,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 4:37 PM