VINGADA (dua dari kanan) dan jurulatih Korea Utara, Jorn Andersen (dua dari kiri) pada sidang media di Stadium I-mobile. FOTO/BERNAMA
VINGADA (dua dari kanan) dan jurulatih Korea Utara, Jorn Andersen (dua dari kiri) pada sidang media di Stadium I-mobile. FOTO/BERNAMA
Daripada Zulfaizan Mansor di Buriram dan Thailand


SKUAD Harimau Malaya mampu menamatkan kemarau kemenangan dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019 apabila berdepan Korea Utara di Stadium I-Mobile, di sini, malam esok.

Malah, jurulatih, Nelo Vingada optimis pemain yang disenaraikan kali ini mampu menjinakkan Korea Utara walaupun tampil tanpa kapten, Safiq Rahim.

Katanya, moral semua pemain juga berada pada tahap terbaik sekali gus tidak berdepan masalah untuk meraih tiga mata.

“Ini adalah perlawanan keempat kami dalam Kumpulan B dan masih ada satu lagi slot ke pusingan akhir selepas Lubnan hampir pasti mara secara automatik.

“Segala-galanya terpulang kepada kami. Secara matematiknya peluang Malaysia, Hong Kong dan Korea Utara masih belum tertutup. Apapun kami perlukan kemenangan untuk merebut slot terakhir.

“Melihat kepada senarai pemain yang ada dan semangat tinggi mereka, saya yakin kami mampu mendapatkan kemenangan sulung dalam kempen kelayakan ini. Tapi, dengan syarat semua pemain memberikan aksi terbaik,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium I-Mobile, hari ini.

Harimau Malaya yang masih belum mengecapi sebarang kemenangan dalam kempen kelayakan kini menghuni tangga tercorot selepas hanya mengutip satu mata daripada tiga perlawanan.

Selain perlawanan esok, Malaysia dan Korea Utara akan mengharungi satu lagi aksi kelayakan Kumpulan B di stadium sama, Isnin ini.

Dalam perkembangan sama, Vingada enggan mendedahkan nama pemain yang akan menggantikan Safiq sebagai kapten dan perancang tengah.

Katanya, ia dianggap sebagai strategi untuk mengelak daripada perancangannya dihidu Korea Utara yang dibimbing Jorn Andersen.

“Saya tidak boleh dedahkan (berkenaan kapten). Tapi saya sudah ada dua atau tiga pemain, tapi terpulang kepada siapa yang akan diturunkan nanti.

“Saya memiliki banyak pilihan pemain terutama beberapa tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kali pertama dipanggil termasuk S Kunanlan, Afiq (Fazail), Fazly (Mazlan) dan Azrif (Nasrulhaq),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 9:27 PM