NIK Akif (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. -Foto AFC
NIK Akif (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. -Foto AFC
Firdaus Hashim


PENGENDALI skuad skuad bawah 19 tahun negara (B-19), Bojan Hodak mendesak pemainnya supaya lebih cepat menyesuaikan diri dengan rentak permainan menjelang aksi kedua, Kumpulan F, kelayakan Kejuaraan B-19, AFC 2018, Sabtu ini.

Ketika aksi sulung menentang Timor Leste, pagi tadi, skuad B-19 dilihat agak bergelut sepanjang 45 minit pertama, apabila gagal meraih gol meskipun memiliki peluang terhidang untuk memecah kebuntuan.

Namun, kemenangan 3-1 ke atas Timor Leste di Stadium Paju, Korea Selatan, itu memberikan petanda positif kepada skuad negara menjelang aksi kedua menentang Brunei, Sabtu ini.

Skuad negara akan berdepan halangan getir bertemu Indonesia pada 6 November diikuti tuan rumah, Korea Selatan pada aksi terakhir (8 November).

Hodak mengakui, anak didiknya agak gugup pada permulaan perlawanan sebelum kembali yakin untuk mencatat kemenangan khususnya di babak kedua.

“Timor Leste beraksi sangat agresif pada babak pertama hingga menyukarkan kita.

“Namun pada separuh masa kedua, pemain saya mula menyesuaikan diri dan kami lebih bernasib baik untuk memungut tiga mata.

“Saya amat gembira dengan keputusan ini dan berharap rentak sama dapat diteruskan dalam aksi berikutnya, ” katanya sejurus tamat perlawanan, hari ini.

Dalam aksi menentang Timor Leste, Malaysia mendahului pada minit ke-54, menerusi tandukan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Hadi Fayadh sebelum Nik Akif Syahiran menjaringkan gol kedua pada minit ke-68.

Pemain gantian, Muhammad Zhafir Yusof menambah gol ketiga hasil percubaan cantik dari luar kotak penalti pada minit ke-79, selepas dia bijak memanfaatkan hantaran Fayadh untuk mendahului 3-0.

Timor Leste yang tampil berbeza termasuk melantik jurulatih baharu dari Korea Selatan, Kim Shinhwan meraih gol sagu hati pada minit akhir perlawanan, menerusi sepakan penalti Junior Da Costa selepas bola terkena tangan pertahanan negara, Shivan Pillay Asokan.

Kejayaan meraih tiga mata penuh itu meletakkan skuad muda negara di landasan tepat memburu tiket ke pusingan akhir di Indonesia pada Oktober tahun depan.

Mengikut format kelayakan, semua 10 pasukan juara iaitu Kumpulan A hingga J serta lima naib juara terbaik kumpulan akan layak secara automatik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 5:29 PM