Khairil S Iswan dan Saiful Affendy Sapran & Fadhli Ishak


PENUNGGANG Ducati, Andrea Dovizioso (gambar) melaungkan amaran awal apabila tampil mendominasi kedua-dua sesi latihan bebas MotoGP pada Kejuaraan Motosikal Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.

Selepas mencatat masa terpantas sesi ujian pertama di sebelah pagi yang berlangsung dalam keadaan litar kering, pelumba Itali itu kemudian membuktikan kejaguhannya dalam litar basah di sesi ujian kedua.

Dovizioso yang ketika ini ketinggalan 33 mata di belakang pelumba Repsol Honda, Marc Marquez dalam pemburuan kejuaraan dunia melakukan catatan 2 minit 00.671 saat pada sesi latihan pertama sebelum melakukan 2:11.640s pada sesi kedua.

Marquez yang sedikit bergelut pada sesi sebelah pagi bangkit pada sesi kedua apabila melakukan catatan kedua terpantas 2:12.166s tetapi masa yang dilakukannya ketinggalan hampir setengah saat di belakang Dovizioso.

Rakan sepasukan Dovizioso, Jorge Lorenzo juga menampilkan kebangkitan pada sesi kedua apabila melengkapkan kedudukan tiga terpantas (2:12.695s) selepas hanya melakukan masa ke-10 terpantas pada sebelah pagi.

Ia kemudian diikuti pelumba Yamaha, Maverick Vinales 2:12.878s manakala rakan sepasukannya yang juga legenda Itali, Valentino Rossi melakukan catatan keenam terpantas 2:13.071s.

Marquez ketika ini memimpin kejuaraan dunia berbaki dua pusingan perlumbaan terakhir termasuk di Malaysia selepas mengumpul keseluruhan 269 mata daripada 16 pusingan perlumbaan berbanding Dovizioso (236).

Pelumba dari Sepanyol itu yang mencatat kemenangan pada pusingan terakhir di Australia boleh mengesahkan kejuaraan dunia andai memperoleh pungutan mata berbanding Dovizioso di Sepang.

Dovizioso yang juga pemenang di Malaysia tahun lalu yang berlangsung dalam keadaan separa basah mencatat keputusan mengecewakan apabila sekadar menamatkan perlumbaan di Australia di tangga ke-11 sekali gus menambah kesukarannya memburu kejuaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 4:20 PM