AFP

SINGAPURA: Simona Halep (gambar) mengakui gembira dengan gelaran pemain nombor satu dunia dan melaungkan amaran awal di kejohanan WTA BNP Paribas selepas mudah menewaskan Caroline Garcia, semalam.

Pada perlawanan pembukaan round robin yang membabitkan lapan pemain terbaik ketika ini, Halep menamatkan deretan 11 kemenangan berturut-turut Garcia dengan keputusan straight set 6-4, 6-2 dalam tempoh 88 minit.

Kemenangan di Stadium Tertutup Singapura itu membalas dendam kekalahannya ke atas pemain dari Perancis itu di final Terbuka China di Beijing, bulan ini.

Halep yang baru dimahkotakan pemain nombor satu dunia sebelum final di Beijing berkata, dia menikmati kemenangan pertama selaku pemain di kedudukan ranking teratas.

“Saya merasa gembira. Saya merasa amat hebat memenangi perlawanan pertama dalam kejohanan pertama di mana saya datang sebagai pemain nombor satu dunia,” kata Halep.

“Ia sesuatu perkara yang cukup baik apabila saya berjaya menjadi pemain nombor satu di penghujung saingan tetapi apa yang paling utama ialah saat ini adalah untuk saya.

“Saya hanya mahu memenangi perlawanan dan kerana itu saya bermain di sini.”

Garcia yang juga pemain nombor lapan dunia mengesahkan tempat ke Singapura selepas memenangi dua gelaran berturut-turut di Wuhan dan Beijing tetapi prestasinya agak merudum pada penampilan sulungnya di WTA Final.

“Saya kecewa mengenai kekalahan ini,” kata Garcia. “Ia bukan cara yang saya mahukan tetapi ia belum lagi berakhir.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 9:15 AM