SYAFI (kiri) dapat kepercayaan Dhaarma.
SYAFI (kiri) dapat kepercayaan Dhaarma.
Naqib Nor Said


PENGENDALI skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah bersedia membawa penyerang yang tidak pernah beraksi dalam saingan Liga Hoki Wanita Malaysia, Nur Maizatulhanim Syafi Sheikh Fuad ke dalam barisan 18 pemain skuad Piala Asia. Syafi, 16, dijangka disenaraikan ke Kakamigahara, Jepun selepas menunjukkan potensi besar walaupun hanya menyertai kem latihan negara sejak dua bulan lalu sebagai pemain ‘percubaan’.

Malah, bayangan itu diperkuatkan lagi selepas Dhaarma mengesahkan dia terpaksa melupakan khidmat ayam tambatan Fazilla Sylvester Silin yang tidak mendapat pelepasan majikan baharunya, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia.

“Pagi tadi MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) mengesahkan Fazilla yang sedang mengikuti kursus latihan rekrut bersama bomba tidak mendapat pelepasan daripada majikannya.”Jadi, saya mungkin terpaksa mencari pengganti dan saya tidak menolak kemungkinan Syafi mungkin berpeluang cerah disenaraikan,” kata Dhaarma berhubung bakat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Impian, Pulau Pinang itu.

Andai terpilih, Syafi bakal menyamai pencapaian empat pemain senior iaitu Siti Noor Amarina Ruhani, Noor Hasliza Ali, Norazlin Sumantri dan Norbaini Hashim membuat penampilan sulung di pentas antarabangsa ketika berusia 16 tahun.Sambil menyifatkan Syafi sebagai bintang masa depan negara, Dhaarma berkata kemampuan penyerang itu menyesuaikan diri beraksi di samping pemain senior berjaya memikat hatinya.

“Sejak menyertai latihan dua bulan lalu, dia langsung tidak menampakkan tanda kekok dan saya percaya peluang beraksi di Piala Asia mampu membantu meningkatkan prestasinya,” katanya.

Ketika ini, seramai 30 pelatih mengikuti latihan negara termasuk lapan pemain ‘percubaan’ iaitu Syafi, Siti Nur Arfah Md Nor, Norul Ain Mutalib, Dayang Muramirah Abang Mahadini, Norrobiatun Norhisam, Nurfatin Dizana, Qasidah Najwa Halimi dan Iren Hussin.

Saingan Piala Asia yang menyingkap tirainya pada 28 Oktober ini menyaksikan Malaysia yang berada di ranking ke-22 dunia diletakkan dalam Kumpulan A bersama China (kelapan), India (ke-12) dan Singapura (ke-40).

Juara bertahan Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Kazakhstan pula diundi dalam Kumpulan B.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 7:34 PM