LACAZETTE tenang sempurnakan penalti pada minit ke-67. - Foto AFP
LACAZETTE tenang sempurnakan penalti pada minit ke-67. - Foto AFP
AFP

LONDON: Alexandre Lacazette mencuri tumpuan daripada pemecah rekod Gareth Barry apabila dua gol penyerang Arsenal itu memastikan kemenangan 2-0 ke atas West Bromwich Albion, awal pagi tadi.

Pemain tengah Albion, Barry memecahkan rekod penampilan Ryan Giggs dalam Liga Perdana Inggeris apabila dia turun beraksi bagi perlawanan ke-633, namun Lacazette menamatkan aksi sebagai pencuri tumpuan utama di Stadium Emirates.

Penyerang Perancis itu membuka tirai jaringan menerusi tandukan pada minit ke-20 dan merembat masuk sepakan penalti selepas rehat (m-67) bagi mengumpul empat gol bersama Arsenal sejak berpindah dengan rekod kelab £52 juta (RM295 juta) dari Lyon.

LACAZETTE (tiga kiri) menanduk masuk gol pertama Arsenal. - Foto AFP
LACAZETTE (tiga kiri) menanduk masuk gol pertama Arsenal. - Foto AFP

Lacazette muncul pemain pertama Arsenal menjaringkan gol dalam tiga aksi pertama liga di laman sendiri sejak Brian Marwood pada 1988.

Gunners melonjak ke tangga ketujuh dalam Liga Perdana selepas meneruskan rentetan tanpa kalah dalam lima perlawanan bagi semua pertandingan sejak dimalukan dengan kekalahan besar di Liverpool.

“Dia makin mantap dalam setiap perlawanan. Sentuhan pertama yang bagus dan pergerakannya,” kata pengurus Gunners, Arsene Wenger mengenai Lacazette.

“West Brom menjejaskan gerakan kami pada babak pertama tapi pada separuh masa kedua kami menguasai permainan dan tidak membiarkan mereka kerap memegang bola.”

Ketika Alexis Sanchez bermula hanya kali kedua musim ini dalam Liga Perdana, ia juga kali pertama penyerang Chile itu bergandingan bersama Lacazette berikutan kehadiran penyerang itu ketika pramusim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 9:08 AM