FEKIR (kiri) terlepas bola kepada penyerang Guingamp, Thuram di Stadium Groupama.
FEKIR (kiri) terlepas bola kepada penyerang Guingamp, Thuram di Stadium Groupama.
AFP

PARIS: Nabil Fekir meledak jaringan keempat dalam lima perlawanan ketika Lyon menewaskan Guingamp 2-1 awal pagi tadi manakala Rennes akhirnya meraikan kemenangan sulung Ligue 1 Perancis musim ini apabila mengatasi Marseille 3-1.

Mariano Diaz melencongkan bola pada minit ke-19 untuk gol pembukaan tuan rumah Lyon ketika bekas penyerang Real Madrid itu menjaringkan gol keempat dalam Ligue 1 sejak dia tiba pada penamat musim dari Sepanyol.

Marcus Thuram, pemain berusia 20 tahun anak bekas pemenang Piala Dunia Perancis, Lilian Thuram, menanduk masuk jaringan pertama dalam liga utama Perancis itu untuk menyamakan kedudukan buat Guingamp pada minit ke-71.

Namun Fekir membalas dengan jaringan kemenangan seminit kemudian membantu Lyon mengekalkan rekod tanpa kalah mereka.

“Kami berdepan banyak masalah hari ini tapi kami tetap bersatu,” kata jurulatih Lyon, Bruno Genesio. “Kami meraih tiga mata dalam keadaan agak bertuah berdasarkan keseluruhan permainan tapi ia berbaloi selepas dua keputusan seri sebelum ini.”

Marseille mengalami kekalahan kedua berturut-turut ketika Rennes mengejutkan tuan rumah di Stade Velodrome dengan gol Wahbi Khazri dan Benjamin Bourigeaud dalam tempoh 10 minit pertama.

Khazri, pemain tengah yang dipinjam dari Sunderland, menolak bola masuk menggunakan tumitnya menerusi hantaran lintang Ismaila Sarr ke penjuru gawang dikawal Steve Mandanda selepas dua minit sebelum Bourigeaud menambah gol kedua.

Permulaan meyakinkan Marseille dalam kempen kali ini terencat berikutan kekalahan besar 1-6 di tangan AS Monaco sebelum rehat tugasan antarabangsa dan skuad kendalian Rudi Garcia tampak tidak mampu berdepan pasukan yang menghuni tangga kedua tercorot liga itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 10:29 AM