NADAL (kanan) dan Naomi mara pusingan kedua  Terbuka AS.
NADAL (kanan) dan Naomi mara pusingan kedua Terbuka AS.
AFP

NEW YORK: Rafael Nadal melakar catatan 13-0 pada pusingan pertama Terbuka Amerika Syarikat namun pemain remaja Jepun, Naomi Osaka mencuri tumpuan apabila menyingkirkan juara bertahan Angelique Kerber ketika hujan lebat menyebabkan lebih 50 perlawanan terpaksa ditangguhkan, awal pagi tadi.

Ketika pemain berlari menyelamatkan diri daripada hujan di gelanggang luar yang mana hanya 90 minit aksi mampu dilangsungkan serta hanya tiga perlawanan ditamatkan, Naomi menyerlah dalam gelanggang tertutup di Stadium Arthur Ashe.

Pemain nombor 46 dunia itu, yang dilahirkan di Jepun dengan bapa berasal dari Haiti, menang 6-3, 6-1 ketika pilihan keenam Angelique muncul juara bertahan perseorangan wanita pertama Terbuka AS kecundang pada pusingan pertama sejak Svetlana Kuznetsova pada 2005.

Pemain nombor satu dunia Nadal pula memulakan kempennya memburu kejuaraan ketiga Terbuka AS dengan kemenangan 7-6 (8/6), 6-2, 6-2 ke atas pemain Serbia, Dusan Lajovic.

Bintang Sepanyol berusia 31 tahun itu bangkit daripada ketinggalan 3-5 pada set pertama menentang Lajovic, pemain ranking ke-85, yang tidak pernah menang di New York.

“Apabila saya ketinggalan pada set pertama, saya hanya cuba untuk bersaing kerana dia bermain baik dan mengawal pungutan mata,” kata juara Terbuka Perancis, Nadal, yang memburu kejuaraan utama ke-16.

“Tapi penamat set pertama amat penting. Saya berjaya mematahkan servisnya dan selepas itu, semuanya berubah.”

Naomi, yang mensia-siakan pendahuluan 5-1 pada set terakhir di gelanggang sama ketika tumpas kepada Madison Keys pada pusingan ketiga 12 bulan lalu, membenam 22 pukulan ‘winners’ ketika Angelique terkeluar daripada kelompok 10 terbaik dunia berikutan kekalahan itu.

“Ketika mendahului 4-1, saya berharap tidak mengulangi apa yang saya lakukan tahun lalu,” kata Naomi yang berusia 19 tahun.

Naomi berdepan sama ada pemain Sweden, Rebecca Peterson atau Denisa Allertova dari Republik Czech bagi memburu tempat ke pusingan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 12:33 PM