MUHAMMAD Syazwan(21) meraikan gol kedua ketika perlawanan. FOTO www.asiana.my
MUHAMMAD Syazwan(21) meraikan gol kedua ketika perlawanan. FOTO www.asiana.my
Aziman Rosdi di Bangkok


SKUAD bawah 22 tahun negara (B-22) mencerahkan peluang untuk layak ke pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China tahun depan selepas menewaskan Mongolia B-22 2-0 dalam aksi terakhir Kumpulan H, hari ini.

Tiga mata yang diraih di Stadium Nasional Supachalasai Bangkok itu meletakkan Malaysia menerajui kumpulan dengan enam mata namun masih perlu menunggu keputusan perlawanan antara Thailand B-22 dengan Indonesia B-22 pada 8 malam waktu Malaysia.

Andai Indonesia menewaskan pasukan tuan rumah atau keputusan seri, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee akan layak secara automatik namun jika Thailand meraih tiga mata penuh, Malaysia terpaksa mmengharapkan slot lima pasukan naib juara terbaik bergantung kepada keputusan perlawanan sembilan lagi kumpulan.

Masalah kecederaan dan kecergasan pemain memaksa Kim Swee melakukan rombakan dengan menurunkan lima pemain baru yang tidak beraksi ketika tewas 0-3 di tangan Thailand kelmarin.

Namun perubahan itu tidak memberi kesan kepada permainan skuad muda negara yang lebih tertekan pada babak pertama.

Dua percubaan bahaya Mongolia menerusi Bilguun Damdindorj pada minit ke-27 dan Gal-Erdene Soyol-Erdene (m-31) berjaya mencemaskan gawang Malaysia yang dikawal Amierul Hakimi Awang.

Satu-satunya percubaan terbaik dicipta Malaysia hadir pada minit ke-22 bagaimanapun rembatan N Thanabalan dalam kotak penalti melambung tinggi.

Kedudukan berubah pada separuh masa kedua apabila Malaysia mendapat gol pertama menerusi percubaan N Thanabalan di minit ke-51.

Mongolia yang berada di tangga tercorot kumpulan apabila hanya mengumpul satu mata ketika seri 1-1 dengan Thailand semakin tertekan selepas Uuganbat Bat-Erdene menerima kad kuning kedua pada minit ke-56.

Malaysia menamatkan sisa perjuangan Mongolia selepas rembatan deras Muhammad Syazwan Andik menggegar gawang di minit ke-86.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 7:20 PM