Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Atlet lompat tinggi kebangsaan Lee Hup Wei (gambar) berjaya mara ke peringat akhir Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) Ke-22 di India.

Kejohanan yang berlangsung di Stadium Kalinga, Bhubaneswar menyaksikan atlet berusia 30 tahun itu melepasi ketinggian 2.10 meter pada pusingan kelayakan.

Pernah menyumbangkan emas di ATF pada 2009 di Jordan, Hup Wei bagaimanapun bakal berdepan dengan saingan sengit 13 peserta yang layak ke peringkat akhir yang akan berlangsung esok.

Untuk layak beraksi di pentas akhir, peserta di kehendaki melepasi ketinggian 2.10m.

Hanya dua atlet Mahfuzur Rahman dari Bangladesh dan Abdalrahman M Alyouha (Kuwait), gagal ke final apabila sekadar melakukan lompatan 2.00m.

Catatan terbaik Hup Wei tahun ini adalah 2.24m yang dilakukan di Australia, April lalu manakala dia pernah bergelar pemegang rekod kebangsaan dengan ketinggian 2.27m pada 2010.

Aksi hari pertama kejohanan turut menyaksikan Badrul Hisyam Abdul Manap mencipta rekod terbaik peribadi dalam acara 400m.

Badrul merekodkan 47.48s untuk memadankan catatan terbaiknya 47.60s yang dilakukan ketika di Afrika Selatan.

Catatan itu turut menyaksikan dia layak beraksi saingan separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 9:34 AM