RONALDO (kanan)  menjaringkan dua gol dalam dua aksi terakhir Real.
RONALDO (kanan) menjaringkan dua gol dalam dua aksi terakhir Real.
AFP

Madrid: Real Madrid berada di ambang kejuaraan La Liga buat kali pertama dalam tempoh lima tahun apatah lagi skuad kendalian Zinedine Zidane (gambar) itu memiliki kelebihan tiga mata berbanding Barcelona menjelang perlawanan terakhir musim ini.

Barca perlu mengalahkan Eibar di tempat sendiri jika mahu beroleh peluang menjulang kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut dan perlawanan itu juga adalah terakhir buat pengurus Luis Enrique.

Madrid mempamer kesungguhan untuk muncul juara musim ini dengan mengalahkan Sevilla dan Celta Vigo 4-1 sebelum ini sambil Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol dalam setiap perlawanan.

“Kami perlu meneruskan apa yang sedang kami lakukan kerana liga ini masih belum tamat,” kata Zidane selepas anak buahnya mengetepikan Celta.

Bagaimanapun, dengan rekod hanya tewas tiga kali musim ini, adalah satu kejutan besar andai pasukan di tangga ke-11 Malaga berjaya menundukkan Madrid pada perlawanan terakhir ini.

Sejak kebelakangan ini, Malaga semakin cemerlang dan mereka berjaya mengumpul 13 mata hasil lima perlawanan terakhir.

Kelab Andalusia itu turut membimbangkan Real apatah lagi mereka pernah menundukkan Barcelona 2-0 bulan lalu.

Dan pendekatan Malaga menjelang perlawanan menentang Madrid juga bakal diperhatikan selepas jurulatih mereka Michel mengeluarkan kenyataan sinis sebelum ini.

Michel mengharapkan Madrid sudah sah bergelar juara sebelum pertembungan dengan anak buahnya kerana beliau lebih suka mengalu-alukan kehadiran sang juara berbanding menyekat impian lawan untuk menerajui La Liga.

Zidane dijangka menurunkan pasukan sama ketika menundukkan Vigo pertengahan minggu ini dan mereka juga perlu bersedia untuk berdepan Juventus di final Liga Juara-Juara tidak lama lagi.

Ronaldo akan berusaha menambah jumlah jaringannya tetapi Gareth Bale akan tetap diketepikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2017 @ 6:53 AM