TURUT bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk projek pendidikan.
TURUT bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk projek pendidikan.
KERJASAMA untuk kesejahteraan masyarakat turut menjadi perhatian UTM.
KERJASAMA untuk kesejahteraan masyarakat turut menjadi perhatian UTM.
Fazurawati Che Lah


ERA globalisasi yang diwarnai dengan kecanggihan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) menjadikan universiti sebagai antara pemangkin kepada pembangunan negara.

Universiti sebagai pusat cendekiawan mempunyai pakar dalam pelbagai bidang menjadi platform sempurna untuk jalinan kerjasama baik sesama universiti, industri mahupun pelbagai agensi.

Ia demi merealisasikan aspirasi negara dalam melahirkan masyarakat berdaya saing dan graduan masa depan memiliki kemahiran, kebolehan dan nilai kemanusiaan yang sesuai dengan kepesatan perubahan teknologi.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Wahid Omar berkata, universiti perlu peka dengan pelbagai proses dan impak transformasi yang berlaku sama ada secara global ataupun tempatan.

Menurut beliau, universiti berupaya membuka peluang seluas-luasnya kepada pelbagai pihak seperti industri bagi pemindahan kepakaran dan teknologi yang akhirnya dapat memenuhi tuntutan serta keperluan semasa negara.

Katanya, ini boleh dilaksana secara sistematik melalui dokumen kerjasama pemeteraian surat hasrat (LoL), memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA).

“Universiti bukan saja menjadi tempat untuk sektor swasta atau awam mengintai dan menarik bakat baharu, ia juga pasaran yang menggalakkan bagi syarikat untuk mempromosikan jenama, produk dan perkhidmatan mereka.

“Jalinan kerjasama universiti dengan pihak industri atau agensi luar selaras dengan usaha memperkasakan institusi pengajian tinggi bagi menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Menurut beliau, di UTM terdapat penyelidik yang pakar bukan saja dalam penyelidikan malah mampu menterjemahkan dan mengaplikasikan kepakaran serta hasil penyelidikan untuk dimanfaatkan semua pihak terutama industri, agensi selain masyarakat.

“Melalui hubungan yang erat antara universiti, industri dan masyarakat akan dapat meningkatkan pengetahuan dalam penghasilan produk, proses serta servis baru yang bermanfaat,” katanya.

Di UTM kerjasama antara universiti dengan pihak luar seperti industri dan komuniti adalah dipantau oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN).

KERJASAMA untuk kesejahteraan masyarakat turut menjadi perhatian UTM.
KERJASAMA untuk kesejahteraan masyarakat turut menjadi perhatian UTM.

Katanya, CCIN dengan sokongan pelbagai kepakaran warga UTM terus berkhidmat membangunkan masyarakat dan industri melalui penyelidikan penterjemahan yang melangkau kampus bagi menyediakan penyelesaian terhadap masalah masyarakat dan industri.

Pengarah CCIN UTM, Profesor Madya Dr Johari Surif berkata, aktiviti ‘libatsama’ ini sejajar dengan inisiatif universiti untuk Masyarakat yang menjadi aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Aktiviti ‘libatsama’ komuniti ini perlu merangkumkan segala aktiviti teras di UTM iaitu pengajaran, penyelidikan, perundingan dan perkhidmatan agar bertepatan dengan falsafah penubuhan UTM iaitu ‘Kerana Tuhan untuk Manusia.’

“Bagi memastikan aktiviti ini menepati dan memberi impak kepada kehidupan masyarakat setempat, CCIN berperanan memantau perjalanan dan inti pati aktiviti agar sentiasa berada di landasan yang tepat dalam misi menepati matlamat untuk mensejahterakan masyarakat,” katanya.

Menurutnya, UTM sentiasa komited dalam merangka dan menjayakan kerjasama antara universiti, industri, agensi kerajaan, komuniti dan pemegang taruh sebagai satu usaha untuk mensinergikan peranan setiap entiti bagi mencapai matlamat yang inklusif, berimpak dan mapan.

“Universiti adalah sumber inovasi serta medium penciptaan, penyebaran ilmu dan pembangunan modal insan. Industri pula adalah entiti komersial yang dapat memacu inovasi yang dicipta untuk merangsang pembangunan ekonomi dan komuniti setempat.

“Oleh itu, CCIN sudah merangka tiga pendekatan strategik bagi memperkasakan jaringan serta kerjasama antara universiti bersama industri pada 2019,” katanya.

Tiga pendekatan strategik yang dimaksudkan itu adalah (1) pengukuhan kerjasama antara Universiti dan Bahagian Kolaborasi dan Hubungan Masyarakat Jabatan Pendidikan Tinggi dengan melaksanakan program berimpak tinggi dengan berkesan, (2) penganjuran acara sesi jaringan Universiti-Industri secara terfokus serta penyertaan dalam pameran di seluruh negara bagi menghebahkan dan mempromosi perkhidmatan Universiti untuk menarik kolaborasi baharu dan (3) pemfokusan kepada ‘deep engagement’ melalui sesi kunjungan yang lebih ‘interpersonal’ bagi memperkukuhkan jaringan sedia ada dan meneroka peluang kerjasama baharu.

Peranan CCIN turut diperluaskan lagi dalam membantu keperluan Johor menerusi Johor Innovation Valley (JIVe) iaitu strategi pelbagai entiti bersama kerajaan negeri.

Melalui pendekatan ini jelas menunjukkan komitmen UTM dalam memperkukuhkan jalinan kerjasama dengan rakan sinergi agar dapat mencapai matlamat universiti dalam mensejahterakan masyarakat demi kelangsungan negara.

Di UTM, kerjasama dengan pihak luar dikelaskan melalui kriteria berikut Kerjasama Dalam Akademik untuk Pendidikan Berkualiti; Kerjasama Dalam Akademik untuk Penyelidikan dan Projek Berimpak; Kerjasama Dalam Akademik untuk Kebolehpasaran Graduan; Kerjasama Dalam Penyelidikan untuk Tingkatkan Kepakaran; Kerjasama Untuk Pembangunan Kebajikan dan Kerjasama untuk Kesejahteraan Masyarakat.

Sehingga kini, lebih daripada 2,000 institusi awam dan swasta mendapat manfaat melalui kerjasama dengan UTM.

UTM turut beroleh pelbagai manfaat daripada kerjasama ini dan menghasilkan pelbagai projek berimpak tinggi serta membantu pelbagai pihak, selain beroleh pelbagai manfaat bersama melalui kerjasama itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 10:07 AM