BURUNG baji sedang diberi makan.
BURUNG baji sedang diberi makan.
Roselan Ab Malek

Ciri burung baji atau lebih dikenali dengan burung budgie dengan bentuk fizikal yang kecil dan comel di samping mempunyai pelbagai warna ceria menjadi daya penarik untuknya menyerikan kediaman penggemar burung.

Selain kelihatan jinak, burung baji juga tidak sukar dipelihara kerana tidak memerlukan kawasan sangkar yang luas, diet ringkas dan mudah membiak.

Memiliki ciri seakan-akan burung nuri atau kakak tua, burung baji dengan nama saintifiknya Melopsittacus undulates lebih kecil dan comel.

Pesara tentera, Sukri Ahmad, 47, memilih untuk menternak burung baji selepas ternakan ayam kampungnya musnah dalam sekelip mata apabila ditenggelami banjir empat tahun lalu.

Walaupun mengalami kerugian hampir RM20,000 akibat 600 ayam kampung yang diternaknya mati pada banjir besar 2014, Sukri tetap bertekad untuk menternak unggas lain dan minatnya tidak pernah hilang.

“Selepas bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 2012, saya membeli 10 burung baji dari seorang rakan di Perlis untuk dipelihara sebagai hobi.

“Selepas memeliharanya hampir dua tahun, ia membiak dan turut menerima permintaan dari kenalan rapat untuk dijadikan burung peliharaan.

“Setahun kemudian, saya lihat permintaan terhadap burung ini sangat tinggi terutama dari kedai haiwan peliharaan dan peminat burung itu sendiri,” katanya yang ditemui di Jerantut, Pahang, baru-baru ini.

SUKRI memeriksa kotak tempat burung baji.
SUKRI memeriksa kotak tempat burung baji.

Menurutnya, dia bertekad untuk menternak burung baji secara komersial di atas tanah berkeluasan 3.2 hektar di Kampung Jerantut Feri, bagi mendapatkan hasil.

Bapa kepada tiga anak itu mula membeli 200 induk burung berkenaan sebagai permulaan dan membina reban yang lebih besar bersaiz 7 x 10 meter persegi selain menyediakan hampir 100 kotak untuk bertelur bagi pembiakan burung berkenaan.

“Kini saya mampu menghasilkan 100 hingga 200 burung sebulan dan dijual dengan harga RM15 hingga RM50 seekor bergantung kepada gred serta warna.

“Hasil jualan burung ini, saya mampu mendapat pendapatan RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

“Buat masa ini, saya hanya membekalkan burung di sekitar daerah Jerantut, Temerloh dan Jengka. Ada juga permintaan dari Lembah Klang, namun saya tidak mampu untuk bekalkan kerana bekalan burung tidak mencukupi,” katanya.

Sukri berkata, dia membelanjakan kira-kira RM300 hingga RM400 sebulan untuk membeli makanan burung baji iaitu kumbu, roti dan jagung mentah selain memberi rumput liar bagi mencantikkan bulu burung yang berwarna-warni ini.

SUKRI menunjukkan anak burung baji.
SUKRI menunjukkan anak burung baji.

“Penjagaan burung ini juga senang dan hanya perlu memberi makan dua kali sehari. Sebulan sekali saya beri minuman vitamin, protein dan ubat penggalak telur.

“Ia mengambil masa sehingga 18 hari untuk bertelur, mengeram hingga menetaskan anak baru yang boleh mencapai empat hingga enam ekor.

“Selepas kira-kira sebulan berada bersama ibunya, anak burung ini akan keluar sendiri ke dalam sangkar dan berlatih berdikari,” katanya.

Katanya, masalah serangan penyakit juga kurang kerana burung ini lasak dan tiada penyakit khusus seperti yang berlaku pada ayam dan ternakan lain.

Selepas menumpukan penternakan burung sejak empat tahun lalu, kini Sukri merancang untuk menambah lagi induk burung supaya dapat memenuhi permintaan.

Ditanya berkenaan cabaran menternak burung peliharaan ini, Shukri berkata, soal kebersihan mesti dititikberatkan bagi memastikan burung dalam keadaan sihat.

“Najis burung perlu dibersihkan sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk mengelakkan burung terkena jangkitan termasuk kutu yang menyebabkan murung dan lemah,” katanya.

ANTARA induk burung baji.
ANTARA induk burung baji.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 2:30 PM