ISLAM melarang umatnya  berbantah-bantahan dan bertelagah pendapat dalam  isu berbangkit kerana dikhuatiri ia bibit-bibit yang   meretakkan kesatuan ummah. FOTO Arkib NSTP
ISLAM melarang umatnya berbantah-bantahan dan bertelagah pendapat dalam isu berbangkit kerana dikhuatiri ia bibit-bibit yang meretakkan kesatuan ummah. FOTO Arkib NSTP
Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Isu perbezaan pandangan satu isu yang sebati dan sinonim dalam kehidupan manusia dan perkara amat wajar dalam konteks pergaulan sesama manusia. Sehubungan itu, setiap daripada kita sebagai manusia biasa sewajibnya memahami perbezaan pandangan atau buah fikiran bukan dicipta untuk mencetuskan permusuhan dan sentimen pertelagahan sesama manusia. Sebaliknya, ia wadah atau medium mencipta persefahaman yang mantap dan semangat toleransi yang jitu dan akhirnya menjalin ikatan persaudaraan dan kesatuan ummah yang mapan sama ada sesama Islam mahupun sesama bukan Islam.

Islam bukan saja memerintahkan umatnya supaya menghargai perbezaan suku bangsa, warna kulit dan bahasa, malah lebih daripada itu, perbezaan pendapat dan fikiran memandangkan kemampuan berfikir antara seseorang dengan yang lain tidak sama. Justeru, perbezaan tersebut secara tidak langsung mempengaruhi kefahaman dan pemahaman seseorang terhadap sesuatu isu berbangkit. Bertolak dari sini, tiada sebab sama sekali untuk kita larikan diri atau mengelak berlakunya perbezaan pendapat atau pandangan dalam satu-satu isu. Malah, perbezaan tersebut menyerlahkan aneka kebaikan tersurat dan tersirat kerana ia berupaya bertindak sebagai perantara atau jalan pintas untuk lebih inovatif dan efektif ke arah kehidupan yang lebih harmoni dan sejahtera di alam semesta ini.

Dalam masa sama, Islam melarang umatnya berbantah-bantahan dan bertelagah pendapat dalam isu berbangkit kerana dikhuatiri ia bibit-bibit yang bisa meretakkan kesatuan ummah dan akhirnya membawa padah lebih buruk lagi iaitu kelemahan dan kehancuran bangsa itu sendiri.

Dalam hal ini, Allah memberi amaran melalui firman-Nya dalam surah al-Anfal, ayat 46 yang bermaksud: Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan bersabar (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati). Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.

Jelas di sini Islam mengajar umatnya membiasakan diri dan menghargai perbezaan pendapat sesama manusia. Sejarah Islam membuktikan betapa perbezaan pendapat, bahkan perbezaan warna kulit dan keturunan bukan penghalang besar mewujudkan satu kekuatan dan kesatuan ummah yang bersatu padu.

Dalam bidang ilmu fikah Islam menampilkan betapa tingginya ketrampilan dan kehebatan ulama Islam iaitu Imam Shafei yang pernah berkata: Apa yang diucapkan ulama yang selain daripadaku juga adalah pendapat yang benar. Begitu juga tingginya sifat berhemah Imam Abu Hanifah apabila beliau tidak pernah menyatakan bahawa pendapatnya adalah yang paling benar dan tepat. Ini sebahagian contoh dan teladan yang cukup ideal dalam isu perbezaan pendapat kerana mereka berdua sebagai tokoh ulama terulung dalam pelbagai disiplin ilmu beranggapan kebenaran itu pada hakikatnya bersifat subjektif dan relatif. Dengan lain perkataan, hanya pendapat dan pandangan lebih menghampiri kepada kebenaranlah yang sewajarnya diangkat sebagai rujukan dan pegangan yang disepakati.

Itulah kaedah yang sentiasa hidup dan segar dalam kotak pemikiran ulama silam sehingga perbezaan pendapat dalam kalangan mereka tidak membawa kepada perbalahan serius. Sebaliknya, perbezaan tersebut membawa kebaikan dan menjadi rahmat kepada manusia.

Walau bagaimanapun, situasi ini tidak lagi berlaku dalam realiti masyarakat kita pada hari ini di mana umat Islam dewasa ini gemar memperbesar-besarkan isu berbangkit biarpun yang remeh-temeh yang akhirnya menjadi isu kontroversi atau polemik hangat yang mengakibatkan kecelaruan kepada umat Islam.

Kadang-kadang, kedapatan juga sebahagian Muslim yang begitu cepat melatah dan melenting apabila ada pihak lain berbeza pendapat dengan kita sedangkan Islam memperkenalkan konsep musyawarah bagi merungkai kekusutan mengakari dalam masyarakat Islam di samping mencari keserasian dan titik-titik persamaan di antara pro dan kontra.

Di dalam Islam kita dianjur bersifat toleransi dan berhikmah dalam menangani masalah perbezaan pendapat. Di sini terserlah betapa pentingnya musyawarah, muzakarah dan perbincangan antara dua pihak yang berlainan fikrah bagi mencari titik penyelesaian dan mencari satu keputusan muktamad yang disepakati umum.

Selain itu, kita hendaklah memastikan perbezaan tersebut tidak melarat dan membarah dalam setiap sendi masyarakat Islam hingga meruntuhkan kekuatan ummah dan juga ia tidak menghapuskan rahmat. Seterusnya, setiap Muslim sewajibnya menginsafi perbezaan pandangan yang lahir hendaklah bertunjangkan kepada keimanan kepada Allah, bukannya kerana menurutkan serakah hawa nafsu atau kepentingan politik semata-mata, sebaliknya ia untuk mencari kebenaran dan membezakan antara yang hak dengan yang batil, bukan kerana sifat keegoan membelenggu jiwa atau kerana menegakkan benang yang basah. Juga, ia perlu berpaksikan kepentingan umum dan maslahah ummah sejagat, bukannya kerana kepentingan peribadi sehingga mengorbankan maslahat sejagat.

Rasulullah sendiri mempamerkan kredibilitinya dan personaliti sebagai seorang pemimpin yang ideal menegakkan prinsip musyawarah dengan sempurna dalam kehidupannya. Biarpun Baginda sebagai pemimpin bagi umat Islam, namun Baginda tidak pernah mengetepikan pandangan sahabatnya dalam menentukan hala tuju dan wawasan pertadbiran umat Islam ketika itu. Sebagai contohnya, sewaktu berlakunya perang Uhud, umat Islam bermusyawarah dalam kalangan mereka untuk menentukan strategi peperangan sama ada untuk melancarkan serangan keluar dari Madinah atau bertahan di dalam kota. Pada ketika itu, Baginda mengusulkan supaya bertahan di Madinah sahaja. Lalu seorang sahabat bertanya: Apakah usul itu wahyu Ilahi atau usul Baginda sendiri? Jawab Baginda: Usulnya itu adalah usul peribadinya sendiri, bukannya wahyu Ilahi. Dalam proses musyawarah tersebut, akhirnya Rasulullah memutuskan untuk menerima pendapat orang lain yang disokong oleh majoriti besar umat Islam biarpun bertentangan dengan pendapat Baginda sendiri.

Justeru, setiap Muslim sewajarnya wujud perasaan saling hormat menghormati dan harga menghargai antara satu sama lain kerana kita semuanya diciptakan Allah bersama-sama dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing biarpun kita adalah sebaik-baik makhluk di bumi Allah ini. Seterusnya, prinsip musyawarah perlu dijulang apabila berlaku perselisihan faham dengan kembali merujuk kepada al-Quran dan juga Sunnah sebagai rujukan utama dalam menyelesaikan segala kemelut dan kecelaruan yang timbul.

Penulis Dekan Pusat Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 7:01 AM