KAJIAN mendapati hanya 45 peratus wanita Malaysia pernah menjalani ujian pap smear.
KAJIAN mendapati hanya 45 peratus wanita Malaysia pernah menjalani ujian pap smear.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


'SAYA sihat-sihat sahaja, kenapa perlu buat pemeriksaan kesihatan?' 'Lebih baik saya tidak tahu apa-apa, elok saya jalani sahaja hidup ini'.

Demikian antara alasan yang kerap didengari apabila menyentuh mengenai saringan kesihatan dalam kalangan wanita.

Ia bukan satu idea menyeronokkan, malah ramai yang keberatan melakukan saringan pemeriksaan kesihatan.

Ini kerana masih ramai beranggapan membuat saringan pemeriksaan kesihatan hanya membuang masa dan wang selain menyusahkan.

Memang sesuatu yang normal untuk kita berasa begitu, terutama apabila berasakan kehidupan sudah cukup sibuk dengan urusan kerjaya dan keluarga.

Namun, pemikiran begini sebenarnya boleh memudaratkan kesihatan anda sebagai wanita untuk jangka panjang.

Semua sedia maklum bahawa wanita apatah lagi seorang ibu, lebih cenderung meletakkan keperluan orang lain melebihi keperluan sendiri.

Tetapi, adalah penting bagi wanita untuk belajar mengutamakan diri sendiri dan menjadi proaktif mengenai tahap kesihatan masing-masing dengan melakukan saringan kesihatan.

Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) yang juga Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi di IMU Healthcare, Dr Muralitharan Ganesalingam berkata, matlamat utama ujian saringan adalah untuk mengesan perubahan dalam badan sebelum ia menjadi lebih serius.

Dengan cara itu, wanita berpeluang mengubah suai gaya hidup dan mengelak penyakit tertentu.

Kata Dr Muralitharan, tidak kira lelaki mahupun wanita, semuanya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan ketika sihat dan bukan ketika sudah sakit teruk.

"Badan kita melalui proses penuaan semula jadi dan matlamatnya adalah untuk menua secara sihat.

"Namun, secara amnya, wanita berumur 19 hingga 24 tahun dianggap berada di kemuncak kesihatan, selepas itu bermula usia 25 tahun, lemak mula terkumpul terutama di pinggul, paha dan perut.

"Jisim otot juga semakin merosot, bermula umur 35 tahun, jisim tulang berkurangan pada kadar 0.5 hingga satu peratus setahun," katanya.

Menurut Dr Muralitharan, semua itu adalah perubahan semula jadi walaupun setiap orang ada perbezaannya.

Justeru wanita dinasihatkan melakukan pemeriksaan tahunan sejurus mencapai usia dewasa, contohnya apabila mula bekerja dan dua kali setahun selepas berumur 45 tahun.

Begitu pun, ada pelbagai jenis ujian pemeriksaan yang disediakan ketika ini dan timbul persoalan yang mana perlu diutamakan.

Dr Muralitharan berkata, statistik penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi meningkat selama bertahun-tahun.

Pada masa sama, apabila usia anda meningkat Dr Muralitharan turut mengesyorkan pemeriksaan mata tahunan, ujian pendengaran dan pemeriksaan pergigian.

Bagi wanita pula, ada beberapa ujian saringan kesihatan yang penting untuk dilakukan.

Antaranya ujian pap smear untuk memeriksa kanser serviks, pemeriksaan payudara untuk mengesan kanser payudara dan imbasan kepadatan mineral tulang bagi mengesan osteoporosis.

Jelas Dr Muralitharan lagi, salah satu penyakit khusus apabila usia wanita semakin meningkat ialah kanser serviks.

"Berdasarkan sejarah, kanser serviks pernah menjadi salah satu kanser yang dominan dalam kalangan wanita dengan 500,000 kes baharu setahun di seluruh dunia dan 250,000 kematian," katanya.

Disebabkan Malaysia mempunyai program saringan yang cekap melalui penggunaan pap smear, negara juga berupaya mengurangkan kes kanser serviks dengan banyak sekali.

"Ia adalah kemajuan paling ketara dalam kawalan kanser. Justeru, pemeriksaan tahunan untuk kanser serviks adalah sesuatu yang digalakkan.

"Ujian pap smear membabitkan pengambilan sedikit sampel tisu dari serviks yang akan diperiksa untuk keganjilan atau perubahan yang boleh menjadi tanda kanser serviks.

"Bagaimanapun, di sebalik keberkesanannya sebagai ujian saringan, satu kajian baru-baru ini mendapati hanya 45 peratus wanita Malaysia pernah menjalani ujian terbabit," katanya.

Dalam pada itu, kanser payudara pula kekal sebagai kanser yang paling biasa dihidapi wanita di negara ini.

Mengikut anggaran, seorang daripada 20 orang wanita akan menghidapnya dan sekurang-kurangnya sembilan individu mati akibat kanser payudara setiap hari.

Bagaimanapun, hanya seorang daripada dua wanita berumur 18 tahun ke atas yang melakukan pemeriksaan payudara sendiri dan hanya seorang daripada empat wanita berusia 40 tahun ke atas yang pernah menjalani ujian mamogram.

"Memandangkan kanser payudara boleh dirawat apabila dikesan pada peringkat awal, adalah penting bagi semua wanita berdisiplin melakukan pemeriksaan kendiri payudara.

"Pemeriksaan tahunan oleh doktor juga penting kerana mereka akan memberi nasihat jika anda perlu melakukan ujian mamogram," kata Dr Muralitharan.

Sementara itu, apabila ketumpatan mineral tulang berkurangan seiring usia dan risiko patah tulang meningkat, wanita yang sudah menopaus berusia 50 tahun ke atas perlu disaring.

Untuk warga emas berumur 65 tahun ke atas pula, saringan hendaklah dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun, mengikut garis panduan ditetapkan.

Menurut Dr Muralitharan lagi, ada banyak faktor seperti sejarah keluarga dan faktor gaya hidup yang meningkatkan risiko seseorang wanita mengalami masalah kesihatan tertentu.

Kata Dr Muralitharan, faktor yang mungkin memerlukan pemeriksaan lebih kerap ialah peningkatan usia, sejarah keluarga, tahap tekanan yang tinggi dan tabiat gaya hidup seperti merokok, pengambilan alkohol dan mempunyai ramai pasangan seksual.

Katanya, kesan tabiat gaya hidup yang tidak sihat hanya dapat dilihat di usia tua manakala tekanan kronik yang dihadapi sama ada dari pekerjaan, keluarga atau situasi kewangan adalah ancaman besar kepada kesihatan.

Namun, orang ramai khususnya wanita diingatkan supaya melakukan saringan pemeriksaan dengan berhati-hati kerana ujian yang tidak perlu boleh menyebabkan perasaan cemas.

"Sebagai contoh, ujian mamogram tahunan mungkin tidak perlu dilakukan kerana keputusan keabnormalan boleh mencapai sehingga 50 peratus, tetapi tidak semua menjadi kanser.

"Ini kerana ujian saringan hanya munasabah jika ia diperlukan dan boleh membawa kepada peningkatan kesihatan.

"Apa yang penting adalah untuk anda berkomunikasi dengan doktor mengenai sebarang kebimbangan kesihatan dan membincangkan sama ada pemeriksaan kesihatan boleh memberi manfaat berdasarkan usia, gaya hidup dan sejarah keluarga anda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 7:03 AM