Muhamaad Razis Ismail


TIDAK dinafikan sukan luncur angin boleh dikategorikan antara aktiviti lasak di air yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang tinggi.

Seorang peluncur angin perlu mempunyai pengetahuan yang tinggi bagaimana 'membaca' arah angin dan aliran air dalam masa yang singkat supaya dapat meluncur dengan pantas.

Tiada jalan pintas untuk menguasai kemahiran ini selain 'wajib' melengkapkan diri dengan ilmu, pengalaman dan latihan yang panjang.

Biarpun begitu, bagi Nur Iman Yazin Affar, 23, ia bukanlah penghalang bagi dirinya untuk bergiat secara aktif dengan sukan itu sejak berusia 15 tahun.

Hampir satu dekad terbabit dalam sukan lasak ini, namanya cukup disegani kerana masih memegang rekod sebagai satu-satunya atlet sukan luncur angin wanita di Perlis yang berjaya merangkul pingat di Sukan Malaysia (SUKMA).

Antara pencapaian cemerlang yang diraih termasuk memenangi pingat perak di SUKMA Sarawak ke-18 , pingat gangsa di SUKMA Perak ke-19 dan tempat keempat kategori wanita di Kejohanan Asia RS:ONE Championship di Desaru, Johor.

Penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, Perlis itu berkata, bibit jatuh cinta terhadap sukan luncur angin tercetus apabila sering mengikut abangnya, Muhammad Aliff menjalani latihan.

NUR Iman (kanan) tidak lokek berkongsi ilmu.
NUR Iman (kanan) tidak lokek berkongsi ilmu.

"Jika diikutkan, sebenarnya pembabitan saya dengan sukan ini agak lewat iaitu pada usia 15 tahun. Biasanya atlet sedia ada sudah mula terbabit sejak daripada sekolah rendah lagi.

"Namun, bagi saya tiada istilah terlambat asalkan berani mencuba dan berusaha gigih untuk merealisasikan impian menjadi kenyataan," katanya.

Bagaimanapun sebelum berada di tahap sekarang, anak kedua daripada empat beradik ini mengakui pada awal pembabitannya dia berdepan kesukaran untuk mengendalikan luncur dan layar dengan baik.

"Bukan mudah untuk membaca arah angin dan aliran arus yang sentiasa berubah. Pada masa sama, saya perlu mengendalikan layar dengan baik.

"Berat layar boleh mencecah sehingga 15 kilogram bergantung kepada kekuatan angin. Jika tidak dapat membaca arah angin dan arus dengan betul, boleh menyebabkan peluncur hilang keseimbangan dan jatuh.

"Sebagai wanita, ia bukanlah perkara yang mudah. Namun berkat kesabaran, usaha yang gigih, tunjuk ajar jurulatih dan dorongan ibu bapa, saya terus bergiat aktif dengan sukan ini sehingga ke hari ini," katanya.

INGIN memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai aktiviti luncur angin.
INGIN memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai aktiviti luncur angin.

Nur Iman berkata, sebagai peminat sukan ekstrem dia suka melakukan aktiviti yang boleh mencabar kemampuan dirinya.

"Menerusi sukan ini, saya dapat mencabar diri untuk menguasai pelbagai kemahiran seperti membaca angin, belayar dan sebagainya.

"Selain itu, saya dapat meningkatkan ketahanan mental, stamina, kekuatan otot dan daya pemikiran sekali gus menjadi seorang wanita yang tampil lebih yakin dan berdikari," katanya.

Tambahnya, untuk menjadi seorang peluncur angin yang baik, disiplin adalah tunjang utama untuk membantu mencapai kejayaan.

"Disiplin boleh dinilai dari pelbagai aspek sebagai contoh seorang peluncur angin perlu disiplin sepanjang masa latihan seperti mengikut program latihan yang diberikan oleh jurulatih dengan jujur.

"Selain itu, peluncur perlu berdisiplin dengan masa iaitu pandai membahagikan masa dan manfaatkannya dengan aktiviti berfaedah," katanya.

Katanya, aspek ini amat penting lebih-lebih lagi dia masih lagi bergelar penuntut universiti sepenuh masa dan perlu bijak menyeimbangkan antara pelajaran, keluarga serta sukan.

"Saya tidak mempunyai jadual khas yang perlu diikut setiap hari tetapi saya akan sesuaikan dengan situasi dan masa. Ketika belajar, saya akan pastikan tidak ada aktiviti lain yang akan mengganggu tumpuan.

"Aktiviti luncur angin dilakukan pada setiap hujung minggu. Bagi mengekalkan stamina dan kekuatan otot, saya melakukan sukan lain seperti mendaki, bola tampar dan badminton.

NUR Iman (tengah) mampu berjaya dalam pelajaran walaupun aktif dengan sukan.
NUR Iman (tengah) mampu berjaya dalam pelajaran walaupun aktif dengan sukan.

"Alhamdulillah sehingga kini saya berjaya mengekalkan anugerah dekan pada setiap semester dan berjaya merangkul anugerah graduan terbaik wanita sepanjang pengajian peringkat diploma," katanya.

Bagaimanapun, tidak ramai wanita yang terbabit dalam sukan ini kerana kurangnya pendedahan mengenai kewujudan sukan ini.

"Sukan yang memerlukan kekuatan tenaga yang kadangkala menjadi penghalang utama kepada kaum hawa. Sering kali kita dimomokkan bahawa wanita lemah dan tidak berdaya namun sebenarnya mereka mempunyai kekuatan dalaman yang tidak disedari.

"Bagi saya bukan kekuatan fizikal sahaja diperlukan untuk menguasai sukan luncur angin ini sebaliknya pemikiran kreatif juga memainkan peranan penting.

"Sekiranya, kita hanya kuat tetapi tidak dapat berfikir secara kritikal maka kita tidak akan dapat mempunyai keupayaan untuk mengawal arah layar," katanya.

Oleh itu, melalui penubuhan Hermission House Extreme Sports Club (HHESC) bersama beberapa rakan yang berkongsi minat sama, dia ingin memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai sukan luncur angin di Tasik Timah Tasoh, Perlis.

"Sebagai Presiden HHESC, saya ingin berkongsi keindahan sukan luncur angin ini terutama yang berminat sekali gus dapat meningkatkan pembabitan orang ramai dalam sukan ini.

"Selain itu, saya ingin melahirkan lebih ramai peluncur angin di Malaysia yang mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi seperti temasya Olimpik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 7:00 AM